Putrajaya terlalu lambat salur bantuan kepada sektor pelancongan, kata persatuan


Banyak hotel terjejas teruk dengan pandemik Covid-19 dan berharap kepada bantuan kerajaan untuk pulih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2020.

PUTRAJAYA perlahan dalam memberikan bantuan kepada pemain industri pelancongan di bawah pakej rangsangan ekonominya bagi menangani impak Covid-19, kata Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata).

Presiden Mata, Mohd Khalid Harun berkata persatuan menerima banyak pertanyaan dan aduan daripada anggota mengenai kekurangan maklumat serta pemberian kemudahan kerajaan sebanyak RM1 bilion untuk sektor pelancongan di bawah pakej Penjana.

Ia sepatutnya bermula awal bulan ini tetapi ditangguhkan kepada 15 Julai. Hari ini, pemain industri masih tiada sebarang maklumat mengenai statusnya, kata Mata.

“Setakat ini tiada (pengumuman) yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan Malaysia atau Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

“Jika kerajaan serius menyelamatkan industri yang menyumbang RM86.14 bilion kepada ekonomi Malaysia pada 2019, maka inilah waktunya.

“Sekiranya kerajaan terus bertangguh, kesannya akan menjadi lebih buruk kepada ekonomi Malaysia,” kata Mata dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menambah yang kerajaan persekutuan dan negeri nampaknya lebih fokus pada pemandu pelancong, pemandu bas pelancongan, beca, teksi dan pengendali inap desa dengan memberikan bantuan kewangan kepada mereka.

“Sektor lain dalam industri pelancongan juga terkena impak seperti agensi pelancongan. Jika mereka tidak dibantu, banyak pekerja mereka terpaksa diberhentikan, begitu juga dengan hotel dan lain-lain.”

Di bawah pakej Penjana, RM1 bilion diperuntukkan untuk sektor pelancongan tetapi Mata berkata maklumat susulan mengenainya masih kurang.

Ia berkata kementerian harus memainkan peranan penting dan bertindak sebagai pusat sehenti bagi agensi pelancongan dan pemain industri lain dalam menyalurkan bantuan.

Mata berkata belum ada maklumat lebih lanjut hingga saat ini dan bertanya apakah cadangannya yang disarankan kepada BNM sebelum ini dipertimbangkan. – 19 Julai, 2020.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen