Menteri, pegawai berselisih faham; setahun kementerian tidak bermesyuarat


Khoo Gek San

Tiada mesyuarat pasca Kabinet di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tahun ini susulan hubungan kerja renggang antara Menterinya Mohammadin Ketapi dan pegawai kanan kementerian, kata sumber. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2019.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya tidak pernah mengadakan sekali pun mesyuarat pasca Kabinet untuk pegawai kanan pada tahun ini sampailah pada Jumaat lepas, ketika hubungan antara menteri dan kakitangan awam sejak peralihan pentadbiran kerajaan setahun setengah yang lalu terus jadi perhatian.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight lazimnya semua kementerian mengadakan mesyuarat di peringkat kementerian selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri, namun itu tidak berlaku di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sejak akhir tahun lalu.

Jelas beliau, mesyuarat itu tidak dibuat kerana hubungan kerja yang renggang antara menteri Mohammadin Ketapi dan pegawai kanan kementerian, di tengah-tengah spekulasi adanya elemen sabotaj “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam.

Mohammadin pernah mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya tahun lalu tetapi The Malaysian Insight difahamkan beliau tidak boleh bekerja dengan bekas ketua setiausaha (KSU) kementerian Isham Ishak, yang menyertai kementerian itu sejak Januari lalu.

Isham ditukarkan ke Kementerian Pengangkutan bulan lepas.

Selepas Isham dipindahkan, Mohammadin mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertama tahun ini pada 29 November lalu, kata sumber.

The Malaysian Insight masih cuba mendapatkan komen daripada Mohammadin.

Menurut sumber, kementerian tiada apa-apa peraturan kerana tidak mengadakan mesyuarat pasca Kabinet.

“Tiada peraturan mengatakan kementerian mesti mengadakan taklimat (untuk pegawai kanan) selepas mesyuarat mingguan Kabinet,” kata sumber.

Ia bagaimanapun menunjukkan bagaimana menteri tidak boleh mengendalikan portfolionya walaupun selepas setahun memegang jawatan, tambahnya.

Statistik pelancongan bagi Malaysia memberangsangkan, dengan jumlah ketibaan dan perbelanjaan pelancongan meningkat secara umumnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2019.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan pelbagai pandangan mengenai wujudnya “daulah terpendam” dalam perkhidmatan awam serta dakwaan amalan sabotaj oleh mereka yang masih setia kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beberapa menteri menyalahkan daulah terpendam kerana menjejaskan beberapa perancangan kerajaan.

Namun tidak jelas apakah daulah terpendam ini sebuah gerakan yang tersusun untuk menggagalkan kerajaan PH atau hanya kakitangan awam yang tidak dapat menyesuaikan diri kepada dalam banyak keadaan, menteri yang tidak berpengalaman.

Kabinet difahamkan sudah membincangkan isu daulah terpendam, sementara beberapa langkah sedang dan telah diambil termasuk memindahkan beberapa KSU dan pegawai kanan.

Bekas KSU Isham adalah antara yang tersenarai dalam perpindahan itu, bersama beberapa pegawai kanan dari kementerian lain.

Pegawai kementerian juga berkata bukan tidak lazim bagi KSU membuat keputusan sendiri tanpa merujuk pada menteri.

Ada beberapa “perkara kecil” yang tidak memerlukan kelulusan menteri, yang boleh ditentukan oleh KSU, misalnya pelaksanaan beberapa program.

“Inilah amalannya iaitu asalkan jabatan dan agensi kementerian beroperasi lancar, ada mesyuarat pasca Kabinet atau tidak, tidak begitu penting,” kata sumber.

Pegawai itu menambah statistik pelancongan bagi Malaysia memberangsangkan, dengan jumlah ketibaan dan perbelanjaan pelancongan meningkat secara umumnya. Ia malah dijangka lebih baik sekiranya negara tidak terjejas dengan jerebu beberapa bulan lalu.

Mohammadin baru-baru ini terperangkap seolah-olah tidak tahu menahu tentang beberapa program kementerian, seperti pameran khazanah Firaun dari Mesir yang dijadual diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau pada mulanya berkata tidak tahu dengan pelan itu tetapi kemudian menjelaskan kerajaan sudah meluluskannya. – 6 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen