Pameran Firaun untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, kata MoTac


Artifak Tutankhamun yang akan dipamerkan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. – Gambar AFP, 29 Oktober, 2019.

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTac) merancang untuk menganjurkan pameran makam dan artifak Firaun Mesir, Ramses II dan Tutankhamun yang lebih dikenali sebagai Raja Tut tahun hadapan, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020. 

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata kerajaan sedang dalam rundingan dengan Kerajaan Mesir mengenai pameran itu dan akan menganjurkan acara mengumpul dana dengan penaja dan badan korporat untuk menjadikannya realiti, tahun hadapan. 

“Setiap jelajah pameran melibatkan Ramses II dan Raja Tut selalunya menerima kunjungan pelawat yang tinggi, jadi sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, kami tidak hanya menarik pengunjung tempatan, bahkan pelancong dari negara-negara Asean. Ia salah satu cara menjadikan Muzium Negara sebagai pusat pembangunan kebudayaan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menghadiri Persidangan dan Mesyuarat Eksekutif Persatuan Muzium Nasional Asia (ANMA) Ketujuh hari ini.    

Beliau turut berkata badan korporat perlu memainkan peranan yang lebih besar dengan muzium kerana ia akan memberikan kesan ketara ke arah mengembangkan platform warisan kebudayaan untuk masyarakat, terutamanya selepas kerajaan meningkatkan potongan cukai kepada syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia daripada RM700,000 sehingga RM1 juta setahun. 

Dalam Belanjawan 2020, kementerian itu diberikan peruntukan RM1.1 bilion untuk Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan kementerian menyasarkan ketibaan 30 juta pelancong dan penjanaan hasil berjumlah RM100 bilion menerusi pelancongan.  

Edisi tahun ini adalah julung kali ANMA diadakan di Kuala Lumpur selama tiga hari dari 29 hingga 31 Okt dengan tema: “Cabaran Muzium: Perpaduan Masyarakat Menerusi Kebudayaan, Seni dan Sejarah”.

Mesyuarat Eksekutif ANMA yang diadakan setiap dua tahun dan 16 negara akan bergilir-gilir menjadi tuan rumah. Pada tahun ini, 12 negara anggota terlibat dan tiga negara pemerhati turut dijemput, iaitu Oman, Azerbaijan dan  Timor Leste.

Muzium Negara menerima kunjungan antara 800,000 hingga satu juta pelawat setiap tahun dan terdapat 20 muzium persekutuan juga 263 muzium-muzium lain terdiri daripada muzium negeri, muzium persendirian dan muzium institusi.  – Bernama, 29 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen