Dialog dengan menteri cetus pertikaian berhubung pelancongan di Sarawak


Desmond Davidson

Pemain pelancongan yang dikelompokkan di bawah Persekutuan Pelancongan Sarawak bagaimanapun menjawab dengan berkata bahawa mereka bukan mencari atau meminta jaminan kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

SETIAP permohonan bantuan kewangan untuk industri pelancongan perlu diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (KPKK) menjadikan pemain industri pelancongan Sarawak kecewa.

Menterinya, Nancy Shukri berkata semua permohonan bantuan kewangan di bawah Prihatin, atau rancangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion, perlu melalui kementerian.

“Sekiranya (anda) ingin mengajukan pinjaman yang berkaitan dengan kemudahan kami, anda mesti melalui Motac (KPKK),” katanya pada dialog industri di Borneo Convention Center Kuching hari ini.

Nancy berkata pemohon tidak boleh secara terus pergi ke bank, yang tidak dapat membuat keputusan mengenai permohonan, kerana hanya sebuah jawatankuasa kementerian yang dapat mengesahkan permohonan.

Pemain industri pelancongan negeri awal minggu ini mempertikaikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Hamzah semasa dialog berhubung rayuan mereka agar negeri memberikan lebih banyak dana kepada pemain industri tempatan yang berjuang dengan kesan Covid-19 terhadap pelancongan negeri.

Karim mencadangkan mereka yang tidak senang dengan apa yang telah disediakan negeri untuk “keluar dari industri”.

Pemain pelancongan yang dikelompokkan di bawah Persekutuan Pelancongan Sarawak bagaimanapun menjawab dengan berkata bahawa mereka bukan mencari atau meminta jaminan kewangan.

Mereka berkata mereka hanya meminta bantuan untuk bertahan dalam masa genting sehingga industri kembali ke tahap normal.

Bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STF) Gracie Geikie mengatakan setelah berdialog dengan Nancy hari ini bahawa terdapat “salah faham” antara pemain negeri dan kerajaan negeri, berhubung saluran yang salah digunakan bagi mengemukakan permohonan bantuan kewangan.

Presiden STF Audrey Wan Ullok dalam dialog hari ini berkata bahawa para pemain pelancongan diminta untuk memahami bahawa kemudahan bantuan khas RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan wabak itu telah habis.

“Industri ini berada di ambang kegagalan dan memerlukan rancangan 12 bulan yang mantap untuk mengatasi ketidakpastian disebabkan perintah kawalan pergerakan, sekatan perjalanan dan langkah-langkah penjarakan sosial,” katanya. – 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen