Pemain industri pelancongan menunggu rebah dan berkubur


PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) kecewa dengan pembentangan Belanjawan 2021 semalam. Papuh merasa seperti pihak kerajaan tidak langsung nampak akan kepentingan pemain industri negara yang ketika ini amat tenat seperti berada di unit rawatan rapi (ICU) tanpa menggunakan bantuan alat pernafasan. 

Sektor pelancongan menjadi sektor ketiga yang menyumbang sebanyak 14.9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada pendapatan negara sebelum wabak Covid-19 melanda negara. 

Sektor pelancongan ini menyumbang pendapatan negara sebanyak RM66.1 bilion pada tahun 2019 seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya. 

Cukai pelancongan juga telah pun menyumbang sedikit sebanyak kepada pendapatan negara, yang diperkenalkan pada 1 September 2017 untuk dikenakan kepada pelancong asing. 

Kini ahli-ahli hanya mempunyai harapan kepada Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada bulan Jun yang lalu. 

Walau bagaimanapun ahli-ahli kami merasa seperti dipersendakan oleh institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, kami diberitahu hanya 3% sahaja dana tersebut diluluskan permohonan mereka. 

Ada antara ahli-ahli kami yang mengusahakan kenderaan pelancongan yang  amat terkesan pada masa ini, yang mana rata-rata menggunakan khidmat syarikat kredit untuk pinjaman mereka. Syarikat kredit ini tidak membantu langsung ahli-ahli kami dalam penyusunan semula jadual pembayaran balik pinjaman pada masa sukar sekarang ini.

Disebabkan oleh keadaan meruncing yang dihadapi oleh ahli-ahli kami yang hilang punca pendapatan mereka dari Febuari sehingga sekarang, maka kami merayu kepada Kerajaan Malaysia untuk membuka pintu sempadan antarabangsa kepada Jemaah Malaysia bagi mengerjakan ibadah umrah dengan SOP yang ketat pada 1 Januari 2021 selepas berakhirnya Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Disember 2020. 

Ini akan dapat menberi sedikit ruang kepada ahli-ahli kami bernafas kembali. 

Papuh mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia untuk membenarkan  pelancong dari negara hijau (yang bebas Covid-19) untuk melawat Malaysia dengan mengadakan SOP ketat  seperti kuarantin 14 hari semasa tiba serta mewajibkan insurans perjalanan.

SOP ini telah pun diguna pakai oleh negara jiran kita Thailand bagi pelancong-pelancong dari China. Mereka telah berjaya menghidupkan kembali industri pelancongan di negara mereka sekaligus dapat merancakkan ekonomi mereka. 

Sekiranya sempadan antarabangsa tidak dibuka, maka ramailah antara ahli ahli kami akan muflis, syarikat akan bankrap dan pekerja-pekerja akan terus hilang pekerjaan mereka. 

Adakah ini yang Kerajaan Malaysia mahukan? 

Papuh menyeru Kerajaan Malaysia supaya membekukan pengambilan pekerja  asing melalui program pengambilan semula (re-hiring) dan juga permohonan pengambilan pegawai dagang (expatriate) yang telah diumumkan oleh Kementerian  Sumber Manusia baru-baru ini. 

Sepatutnya pihak Kerajaan Malaysia lebih prihatin untuk memberi peluang pekerjaan ini kepada rakyat sendiri yang telah kehilangan  pekerjaan dan sumber pendapatan. 

Ahli-ahli kami juga telah dilambakkan dengan saman-saman dari mahkamah dan juga Tribunal Tuntutan Pengguna oleh pelanggan yang menuntut bayaran deposit dan juga bayaran penuh pakej pelancongan yang telah terkandas disebabkan oleh pandemik Covid-19. 

Papuh mahu Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk mengeluarkan satu penyelesaian kepada isu tuntutan ini.

Sekiranya apa yang dikatakan di atas tidak dilakukan, maka Papuh merasakan pemain industri negara ini menunggu untuk rebah dan berkubur.

* Razali Mohd Sham, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen