Bantuan kerajaan tak sampai kepada kami, kata persatuan pelancongan


Industri pelancongan bergelut kerana pandemik Covid-19 dan syarat ketat bantuan dikenakan bank membebankan agensi pelancongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2020.

PERSATUAN Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) meluahkan kebimbangan kerana tidak banyak bantuan kerajaan sampai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro kerana syarat ketat dikenakan bank.

Presiden MATA Mohd Khalid Harun berkata ahli persatuan mengadu yang permohonan mereka untuk mendapatkan bantuan ditolak kerana syarat ketat dikenakan institusi perbankan.

“Sehingga sekarang, kurang 1% daripada skim sudah diluluskan institusi perbankan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini menghalang niat kerajaan untuk membantu PKS dan perusahaan mikro yang seterusnya menghalang pemulihan sektor pelancongan.”

Khalid berkata bank perlu lebih fleksibel dalam meluluskan bantuan kerana situasi industri pelancongan yang buruk sekarang.

Tambahnya, apabila ekonomi pulih nanti, industri itu akan menjadi penyumbang besar KDNK, dan kerana itulah kerajaan memperkenalkan skim itu.

“Tetapi, malangnya ia disukarkan oleh bank, lebih malang lagi morotarium pinjaman juga sudah tamat.”

MATA kini menggesa Putrajaya menarik balik skim pembiayaan sektor pelancongan bernilai RM1 bilion di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang disalurkan melalui 12 institusi perbankan negara untuk membantu industri itu.

Mereka sebaliknya mahu bantuan disalurkan terus kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk penyerahan bantuan lebih berkesan.

Jelas Khalid lagi, MATA terlibat dalam penyediaan cadangan dihantar kepada Bank Negara Malaysia untuk penggubalan bantuan sektor pelancongan.

“Jadi, kami merasakan ada keikhlasan kerajaan yang mahu membantu industri pelancongan.” – 16 Oktober, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen