Benarkan perjalanan umrah Januari ini, rayu agensi


Arab Saudi mula menerima jemaah umrah pada Ahad lalu. – Gambar AFP, 3 November, 2020.

KERAJAAN diharap memberi kebenaran kepada umat Islam untuk ke luar negara bagi mengerjakan umrah di Mekah bermula 1 Januari 2021, kata Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), selepas Arab Saudi menerima jemaah umrah antarabangsa pertama minggu ini.

Presidennya Razali Mohd Sham berkata langkah membuka sempadan negara dalam tempoh dua bulan ini boleh membantu menyelamatkan syarikat agensi umrah dan haji yang teruk terjejas sejak penularan Covid-19.

“Sekiranya pintu sempadan Malaysia dapat dibuka pada 1 Januari ini, ahli-ahli kami dapat membuat perancangan awal dan penjualan pakej umrah dalam norma baru didalam masa yang terdekat ini. 

“Ahli-ahli kami juga mempunyai ramai jemaah umrah yang telah membayar dan terkandas akibat wabak Covid-19 ini.

“Secara langsung jemaah yang terkesan dan terkandas ini dapat menyusun semula tarikh penerbangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Razali, pihaknya memahami tatacara dan prosedur (SOP) ketat yang bakal dikenakan kepada jemaah umrah, malah sudah merangka SOP untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia juga mengambil maklum SOP ketat yang ditetapkan oleh Arab Saudi iaitu had umur jemaah antara 18 hingga 50 tahun sahaja.

Mereka pula diwajibkan menjalani saringan Covid-19 dalam tempoh 72 jam atau tiga hari sebelum berlepas serta kuarantin tiga hari sebaik tiba.

Papuh menambah SOP itu dengan menetapkan saringan Covid-19 sebaik pulang ke Malaysia serta kuarantin wajib 14 hari di tempat yang disediakan oleh pihak agensi.

“Jemaah akan dipantau tahap kesihatan melalui aplikasi sepanjang tempoh kuarantin wajib,” kata Razali.

Agensi umrah dan haji terjejas teruk kerana pandemik Covid-19 apabila negara-negara dunia termasuk Arab Saudi menutup sempadan mereka. – Gambar AFP, 3 November, 2020.

Pihak persatuan agensi umrah juga sedang berunding dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mengadakan urusan daftar masuk jemaah di Masjid KLIA bagi mengurangkan kesesakan di terminal serta mematuhi penjarakan fizikal, tambahnya.

Razali membayangkan kos umrah akan meningkat dengan ketara kerana faktor kenaikan cukai nilai tambah (VAT), hotel serta kos saringan kesihatan dan kuarantin wajib selepas pulang ke Malaysia.

Sejak pertengahan Mac lalu, Arab Saudi mengambil langkah drastik bagi memerangi penularan Covid-19 dengan menggantung pelaksanaan ibadat umrah dan ibadat solat di Masjidil Haram.

Sejak Ahad (1 November) ia bagaimanapun mula membenarkan jemaah antarabangsa bagi tujuan umrah, selepas melonggarkan sekatan di Masjidil Haram sejak awal Oktober.

Setelah tujuh bulan tanpa tetamu antarabangsa, Arab Saudi menerima 10,000 jemaah umrah pada Ahad lalu.

Mereka dikuarantin selama tiga hari sebaik tiba sebelum dikendalikan oleh petugas kesihatan profesional untuk masuk ke Mekah secara berkumpulan melalui lima lokasi yang ditetapkan oleh Kementerian Haji dan Umrah.

Pada masa sama, Arab Saudi memperketatkan langkah pencegahan antaranya dengan melakukan pembersihan dan nyahkuman di Masjidil Haram sebanyak 10 kali dalam masa sehari .

Kumpulan jemaah juga disaring oleh petugas kesihatan dengan mesin pengimbas haba yang ditempatkan di pintu masuk dan di dalam Masjidil Haram bagi memantau suhu badan dan mengeluarkan amaran berdasarkan keperluan. – 3 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen