Tak ada bayaran balik 'deposit', kata ejen MM2H


Khoo Gek San

Program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) dibekukan dan pandemik Covid-19 memburukkan masalah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2020.

PUTUSNYA pendapatan sejak awal tahun ini apabila program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) dibekukan, para ejen dan perunding bertambah bengang apabila mereka dikehendaki memulang semula “deposit” kepada para pemohon.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri telah memohon supaya syarikat dan ejen perunding MM2H “memulangkan semula deposit” kepada pemohon program berkenaan.

Presiden Persatuan Ejen MM2H Anthony Liew berkata, ahli-ahli tidak dibayar deposit tetapi mendapat bayaran rundingan untuk bantuan yang diberikan mereka.

Ia sudah menjadi amalan buat pemohon untuk membayar wang pendahuluan sebanyak 50 hingga 70%, katanya.

Beliau menekankan wang itu tidak boleh dikembalikan seperti yang dikatakan Nancy.

Wang itu digunakan untuk persediaan dan penghantaran dokumen, kos perjalanan dan kerja fizikal, kata Liew.

“Dokumen itu diserahkan kepada pegawai MM2H yang akan semak sebelum menyerahkan permohonan itu untuk diluluskan. Sejumlahnya diberikan kepada klien sebagai rujukan masa depan.

“Di waktu ini, ejen perunding telah menyelesaikan tanggungjawabnya dan klien cuma bayar baki wang,” katanya.

Liew berkata, arahan Nancy untuk kembalikan deposit yang tidak wujud telah memberi salah anggapan kepada klien bahawa ejen telah mengambil wang mereka dan gagal menyerahkan borang permohonan.

Akhirnya, beberapa klien menuntut pemulangan wang.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Nancy Shukri yang meminta

Katanya sejak Julai, kerajaan telah menolak semua permohonan MM2H yang dibuat antara Januari sehingga Jun. Kesemua permohonan itu berjumlah 5,000. Tidak jelas kenapa permohonan ditolak atau bila pula program itu akan disambung semula.

“Para klien dah bayar kami untuk jaga proses permohonan. Kami dah selesaikan bahagian kami tapi akhirnya, menteri yang luluskan permohonan.

“Kami tak janji semua permohonan akan diluluskan. Kami memang jelaskan perkara ini kepada pemohon sejak beliau (Nancy) mengambil alih kementerian sejak Mac lalu.

“Kami faham kalau dia kurang faham pasal skim MM2H bila dia ambil alih kementerian. Tapi bila cakap klien boleh ambil ‘deposit’ mereka balik jika permohonan ditolak, maksudnya kenyataan itu tidak bertanggungjawab.”

‘Tak masuk akal’

Pengarah pengurusan Iconic Living Group Michael Cheam berkata, syarikatnya sedang menunggu kata putus kerajaan bila skim itu akan disambung semula supaya mereka boleh menghantar semula 298 permohonan yang telah ditolak tahun lepas.

“Prosedurnya ialah untuk dapatkan pemohon membayar setengah daripada wang pendahuluan – kami gelar ini sebagai pembayaran awal – dan bakinya, atau pembayaran akhir pula bila proses permohonan selesai. Ia bukannya deposit atau bayaran tempahan,” kata Cheam.

“Wang digunakan untuk bawa klien periksa kesihatan, yuran proses bank, terjemahan, pengangkutan dan kos buruh. Kami tak tahu menahu apa yang menteri maksudkan dengan ‘deposit’.”

Katanya, pemulangan wang hanya dapat dilakukan untuk kes di mana pelanggan telah membuat pembayaran awal tetapi permohonannya tidak diserahkan kerana tiba setelah program MM2H ditangguhkan.

“Jika kami sudah ambil wang tetapi gagal buat permohonan, kamu boleh salahkan kami. Tapi kami sudah kirim set lengkap dokumen itu ke agensi berkenaan.

“Sangat tak masuk akal bila kerajaan tiba-tiba batalkan permohonan dan beritahu kami untuk bayar kembali wang itu.”

Peserta program Malaysia Rumah Kedua (MM2H) tidak membayar deposit tetapi bayaran khidmat, kata persatuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2020.

‘Kami sedang parah’

Pemilik MOSL Planning (MM2H) Sdn Bhd Raja Ummi Hairima berkata, syarikatnya mengenakan caj “bayaran profesional” yang tidak boleh dikembalikan semula selepas urusan selesai.

Ummi berkata, para klien perlu membayar 80% yang memakan kos antara RM5,000-RM6,000.

Katanya, sesetengah klien yang tidak faham tentang budaya pembayaran ini mahu menyaman syarikat namun menukar fikiran mereka selepas mendengar penjelasan tentang ke mana perginya wang bayaran itu.

Ummi berkata, klien beliau kebanyakkannya dari Jepun.

Terdapat 250 syarikat perunding untuk skim MM2H dan syarikat-syarikat ini sedang berusaha keras untuk kekal dalam perniagaan ini selepas program ini dihentikan secara engejut.

Kata mereka, perubahan polisi mengejut ini telah merosakkan reputasi Malaysia, malah ada sesetengah klien sudah hilang kepercayaan dengan skim ini.

Sejak 14 tahun skim ini wujud, mereka mendakwa tidak pernah menghadapi situasi sebegini di mana 90% permohonan telah ditolak yang menyebabkan kerugian mencecah RM776 juta.

Persatuan Ejen MM2H Liew memohon jasa baik dari kerajaan.

“Kami sedang parah. Kami harap menteri dapat berjumpa dengan pemain industri agar dapat memahami isu dan mendengar cadangan kami supaya MM2H kekal dan menarik ramai orang.

“Kami juga berharap kementerian memberikan bantuan untuk kami menghadapi saat mencabar ini.

“Akhir sekali, kami harap menteri cepat-cepat umumkan penyambungan skim ini supaya kehidupan kami kembali pulih dan dalam masa dama, menarik pelaburan asing secara terus dan meningkatkan sektor terkait untuk melonjakkan ekonomi Malaysia,” tambah Liew. – 16 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen