Belanjawan 2021 tidak boleh diterima bulat-bulat, kata Dr Mahathir


Noor Azam Shairi Kamles Kumar

Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan Muhyiddin Yassin perlu menimbang kritikan dan cadangan balas yang sudah disuarakan, bagi memastikan belanjawan tersebut dapat disokong. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 November, 2020.

BELANJAWAN 2021 dalam bentuknya sekarang tidak akan diluluskan “bulat-bulat” di Dewan Rakyat, kata Dr Mahathir Mohamad, selepas ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang mengkritik beberapa aspek cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Bekas perdana menteri berkata kerajaan Muhyiddin Yassin perlu menimbang kritikan dan cadangan balas yang sudah disuarakan, bagi memastikan belanjawan tersebut dapat disokong.

“Belanjawan ini tidaklah dapat diterima bulat-bulat. Kita perlu ada pindaan, dan kerajaan sepatutnya terima cadangan daripada parti lawan. 

“Jangan fikir tentang (cadangan) parti kerajaan saja. 

“Apa yang perlu diutamakan ialah rakyat, tidak ambil kira parti, atau keturunan dan sebagainya,” katanya, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, semalam.

Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi dijadual membahaskan Belanjawan 2021 pada 11 pagi ini.

Jelas Dr Mahathir, bantahan yang dikemukakan terhadap belanjawan cadangan kerajaan ada asasnya.

“Belanjawan ini bukanlah tidak cacat sama sekali. Terdapat banyak kecacatan. Terdapat juga peruntukan bagi entiti yang tidak perlu mendapat bantuan.

“Sebaliknya kita dapati belanjawan ini tidak beri perhatian untuk membantu mereka yang sudah hilang kerja, tiada punca pendapatan, dan sedang menghadapi kebuluran, mereka yang jiwanya sudah terancam… ada yang sudah membunuh diri pun,” katanya.

Kerajaan Muhyiddin Yassin berdepan cabaran terbesar pentadbiran, memastikan Belanjawan 2021 diluluskan Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

Beberapa parti politik termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti baharu yang diasas oleh Dr Mahathir dan sedang menunggu kelulusan pendaftaran, membantah antara lain peruntukan RM85.5 juta untuk menubuhkan semula agensi propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Beberapa ahli Parlimen dari Pakatan Harapan juga mempersoalkan dana pemberian RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), yang asalnya sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu Zuraida Kamaruddin.

Kumpulan ini sudah bergerak sejak September lalu, hanya di tiga negeri pembangkang – Selangor, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan – dengan peruntukan sebanyak RM2.6 juta sehingga Disember ini.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Najib Razak juga mengingatkan kerajaan bahawa pihak mereka tidak akan menyokong belanjawan cadangan kerajaan sekiranya tidak dipinda.

Najib mengumumkan dua tuntutan BN iaitu kelonggaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan RM10,000 dari Akaun 1 serta penangguhan lanjutan bayaran balik pinjaman bank secara menyeluruh.

Dana RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), yang asalnya sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan Zuraida Kamaruddin adalah isu terbesar sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

Semalam, Pengerusi Kelab Penyokong Perikatan Nasional Shahidan Kassim berkata kerajaan sedang menimbang tuntutan BN.

BN mempunyai 43 anggota di Dewan Rakyat sementara Anwar mengetuai blok pembangkang Pakatan Harapan yang mempunyai 91 kerusi.

Sokongan terhadap Belanjawan 2021 jadi perhatian selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah menasihati semua ahli parlimen supaya “memberi sokongan padu” terhadap cadangan kerajaan.

Sokongan mereka penting, titah baginda, demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Dr Mahathir dan tiga ahli Parlimen Pejuang dalam satu kenyataan pada Isnin berkata mereka dalam dilema sama ada mahu menyokong atau menolak Belanjawan 2021.

Menyokongnya akan mengabaikan kepentingan rakyat tetapi menolaknya akan dianggap tidak taat kepada Yang di-Pertuan Agong, kata mereka.

Namun mereka melihat kerajaan Muhyiddin menggunakan titah Tuanku Agong seperti “cek kosong” apabila mengemukakan satu belanjawan yang cenderung untuk kepentingan politik.

“Kami melihat belanjawan yang dibentang itu sebagai tidak menghayati semangat titah Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik,” kata mereka.

Tiga ahli Parlimen Pejuang yang lain ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Salleh (Sri Gading).

Kerajaan Muhyiddin yang didukung oleh 113 daripada 222 ahli Parlimen berharap pihak pembangkang akan menyokong cadangan belanjawan ini ketika ia masih berdepan isu-isu yang tidak selesai dengan BN. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen