Penggerak Komuniti Tempatan wakil Perikatan di negeri pembangkang, kata pemimpin Bersatu


Mohd Farhan Darwis

Anwar Ibrahim pada sesi perbahasan di Parlimen semalam mendakwa Penggerak Komuniti Tempatan adalah alat politik Zuraida Kamaruddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

PENGGERAK Komuniti Tempatan, yang dikaitkan dengan badan masyarakat yang bernaung di bawah bekas pemimpin PKR Zuraida Kamaruddin, akan menjadi wakil kepada kerajaan persekutuan di negeri-negeri yang tidak ditadbir oleh Perikatan Nasional, kata pemimpin Bersatu.

Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari berkata pegawai Penggerak Komuniti Tempatan akan dibayar elaun RM2,000 sebulan serta menerima peruntukan RM10,000 setahun untuk berkhidmat di kawasan Parlimen di negeri-negeri berkenaan.

Pada masa ini, hanya tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang tidak ditadbir di bawah kerajaan PN.

“Mereka akan ditempatkan di majlis daerah, majlis perbandaran, dan bandaraya, mengikut jumlah yang terlibat di semua kawasan pihak berkuasa tempatan.

“Walaupun jawatan mereka setaraf dengan ahli majlis tetapi mereka tak boleh duduk dalam PBT atau majlis daerah masing-masing,” katanya semasa melancarkan Penggerak Komuniti Tempatan Selangor di Shah Alam, baru-baru ini.

Putrajaya mencadangkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta kepada kumpulan itu, yang disenaraikan di bawah kod 40900 dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021 sebagai pemberian sekali beri di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kementerian itu diterajui bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang menyertai Bersatu bersama Mohamed Azmin Ali dan pengikutnya pada hujung Ogos lalu.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam mendakwa penubuhan Penggerak Komuniti Tempatan bermotifkan politik, yang dipersetujui oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz “atas kehendak politik” pihak tertentu.

Dalam ucapannya semasa membahaskan Belanjawan 2021, Anwar menyanggah peruntukan lebih RM8.6 bilion untuk Penggerak Komuniti Tempatan, yang beliau sifatkan lebih bermanfaat jika disalurkan kepada petugas barisan hadapan melawan Covid-19.

Menurut Abdul Rashid, jawatan dalam Penggerak Komuniti Tempatan akan diagihkan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan PN, termasuk bekas ahli PKR yang menyertai Bersatu.

Bagi Selangor katanya seramai 288 orang akan dilantik sebagai pegawai Penggerak Komuniti Tempatan, dengan nisbah pembahagian jawatan mengikut bilangan kerusi Parlimen yang diwakili parti masing-masing

“Mereka diberi elaun dan peruntukan, dengan itu mereka dapat jalankan tugas dengan berdedikasi dan berhemah walaupun berada di negeri pembangkang.

“Penggerak komuniti ada tanggungjawab berat untuk tentukan kawasan mereka dapat khidmat mereka,” katanya.

Pada Mei lalu, The Malaysian Insight melaporkan bekas ahli PKR yang menyokong Azmin dan Zuraida bergerak di bawah beberapa badan masyarakat termasuk Penggerak Komuniti Negara.

Anggota kumpulan itu kemudiannya diumum menyertai Bersatu dalam satu majlis bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur pada 24 Ogos, bersama Azmin dan pengikutnya yang lain.

Selepas percaturan politik pada hujung Februari, Pakatan Harapan kekal hanya di tiga negeri, dengan DAP menerajui Pulau Pinang sementara PKR di Selangor dan Negeri Sembilan.

Kerajaan di empat negeri iaitu Johor, Perak, Melaka, dan Kedah juga diambil alih oleh Perikatan selepas beberapa pemimpin bertukar parti menyebabkan PH hilang majoriti.

PN dan sekutunya juga kini menguasai Sabah selepas menang pilihan raya negeri pada hujung September lalu. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen