Aktivis Perikatan di negeri pembangkang terima RM2.6 juta bagi tempoh 4 bulan


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kakitangan PeKT dilantik di kalangan aktivis masyarakat untuk mengadakan program bagi memberi manfaat kepada penduduk tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

LEBIH RM2.6 juta diperuntukkan kepada Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT), kumpulan masyarakat sivil yang mempunyai kaitan dengan Bersatu, selama empat bulan bertugas di beberapa negeri ditadbir pembangkang, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kakitangan PeKT dilantik di kalangan aktivis masyarakat untuk mengadakan program bagi memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

Beliau berkata fungsi PeKT adalah menyebarkan maklumat kerajaan, menyatukan masyarakat setempat, memantau dan menangani masalah masyarakat setempat, dan mengumpulkan maklum balas untuk program kerajaan.

“Sejumlah RM2,663,020 diperuntukkan kepada PeKT untuk September hingga Desember 2020,” kata ahli Parlimen Ampang hari ini dalam jawapan bertulis kepada Wong Kah Won (Ipoh Timur-PH) di Dewan Rakyat.
 
“PeKT hanya ada di tiga negeri - Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan - merangkumi 46 majlis tempatan.

“Kerajaan telah melantik 261 orang di tiga negeri ini.”

Wong ingin mengetahui lebih banyak mengenai fungsi PeKT, kakitangannya dan kos yang terlibat.

Zuraida berkata, pelantikan PeKT bukan penjawat awam dan tidak menjelaskan mengapa mereka tidak ditempatkan di negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Ketua Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari memberitahu The Malaysian Insight semalam yang PeKT berfungsi sebagai penghubung PN kepada komuniti setempat di negeri dikuasai pembangkang.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM8.6 juta kepada aktivis, yang dibayar elaun sebanyak RM2,000 setiap bulan.

Pemimpin pembangkang mengkritik langkah itu sebagai usaha menggunakan dana awam untuk mengumpulkan sokongan. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen