Belanjawan 2021 populis dan tak hormat Agong, kata Pejuang


Ketika rakyat Malaysia berdepan cabaran ekonomi terbesar sejak Merdeka disebabkan wabak Covid-19, isu sokongan Belanjawan 2021 masih tidak selesai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

BELANJAWAN 2021 bersifat populis dan tidak mematuhi nasihat Yang Di-Pertuan Agong untuk menjaga kebajikan rakyat, kata wakil rakyat dari Pejuang.

Empat ahli Parlimen parti yang menunggu kelulusan pendaftaran itu berkata mereka dalam dilema antara menyokong atau menolaknya.

“Untuk menyokong belanjawan tersebut, ahli-ahli Parlimen Pejuang merasa mengabaikan kepentingan awam kerana belanjawan itu rata-rata bersifat populis tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan hala tuju ekonomi negara.

“Untuk tidak menyokong kami akan dituduh bermain politik ketika keadaan negara terdesak akibat daripada wabak Covid-19. Selain itu, jika kami mengambil pendirian tidak menyokong, kami akan dituduh tidak taat kepada titah DYMM Yang di-Pertuan Agong,” kata mereka dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Salleh (Sri Gading).

Agong sebelum ini menasihati semua ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 yang dibuat ketika negara sedang memerangi wabak Covid-19 kerana ia penting untuk pembiayaan bekalan perubatan dan petugas barisan hadapan.

Tetapi, Pejuang berkata belanjawan Perikatan Nasional tidak menggambarkan aspirasi Agong sebaliknya ia meliputi “blank cheque” untuk tujuan politik.

“Sebaliknya, apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan ialah mengguna titah DYMM Yang di-Pertuan Agong sebagai satu ‘black cheque’ untuk memasukkan beberapa aspek ke dalam belanjawan itu yang menjurus kepada keuntungan politik dan mengenepikan kepentingan awam.”

Antara “kejutan” dalam Belanjawan 2021 termasuklah peruntukan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula unit propaganda kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Disebabkan semua kejutan itu, Pejuang mendesak kerajaan mempertimbangkan semula peruntukan belanjawan dan membatalkan semua perbelanjaan tidak perlu dan hanya memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat dan perang Covid-19.

“Jika ini dapat dilakukan, maka kami bersedia memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021.” katanya.

Awal hari ini, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata mereka tidak akan menyokong Belanjawan 2021 kerana wujud persoalan tentang unjuran pendapatan, peruntukan untuk Covid-19 dan amalan perakaunan yang tidak jujur,

Kerajaan Muhyiddin Yassin yang hanya mempunyai 113 sokongan ahli Parlimen berharap pembangkang akan menyokong Belanjawan 2021 ketika Putrajaya masih bergelut menyelesaikan kemelut dengan sekutunya, Barisan Nasional. – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen