Kerajaan timbang tuntutan BN, kata Shahidan Kassim


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Barisan Nasional akan menyokong Belanjawan 2021 Perikatan Nasional, kata Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC). – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

KERAJAAN Perikatan Nasional sedia menimbang tuntutan Barisan Nasional yang mahu kelonggaran untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang dari Akaun 1 dan penangguhan lanjutan bayaran balik pinjaman bank secara menyeluruh, kata Shahidan Kassim.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC) berkata kesediaan itu dimaklumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz kepada mereka dalam satu pertemuan awal minggu ini.

Beliau yakin keputusan muktamad mengenainya akan diumumkan sebelum Zafrul menggulung perbahasan Belanjawan 2021 minggu depan, katanya.

“Saya ingat menteri kewangan mungkin akan bagi jawapan sebelum penggulungan… sebab dalam perjumpaan yang kita buat, beliau beritahu persetujuan (syarat) KWSP dan moratorium.

“Mungkin kenyataan rasmi dibuat sebelum penggulungan bajet,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau bagi BN juga yakin semua ahli Parlimen BN akan menyokong Belanjawan 2021 sekiranya tuntutan yang mereka suarakan diterima.

Semalam, semasa membahaskan Belanjawan 2021, bekas perdana menteri Najib Razak berkata BN hanya akan menyokong cadangan kerajaan sekiranya dua tuntutan mereka dipenuhi.

BN meminta kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP dari Akaun 1 sebanyak RM10,000 untuk semua orang, serta  moratorium bayaran balik pinjaman bank secara automatik sehingga Jun tahun depan.

“Sokongan saya dan rakan-rakan dalam BN tertakluk kepada dua perkara ini. Sokongan kita kepada bajet ini sokongan bersyarat,” kata Najib, yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC), semalam.

Dalam ucapannya, Najib juga mendesak moratorium bayaran balik pinjaman bank diperluaskan kepada semua peminjam terutama golongan berpendapatan menengah atau M40.

Menurutnya kerajaan tiada sebab untuk tidak melanjutkan penangguhan itu ketika bank sebenarnya meraih untung besar.

Kerajaan Muhyiddin sebelum ini membenarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman bank secara automatik selama enam bulan antara April dan September.

Bermula Oktober, penangguhan itu dibenarkan secara bersasar mengikut kelompok tertentu, terutamanya mereka yang hilang pekerjaan akibat penularan Covid-19.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran RM500 sebulan dari Akaun 1 KWSP bagi tempoh 12 bulan, menjadikan jumlah penuhnya tidak lebih RM6,000.

Pengeluaran itu dihadkan kepada individu yang kehilangan pekerjaan.

Ini adalah tambahan RM6,000 kepada kebenaran pengeluaran di bawah skim i-Lestari dari Akaun 2 yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi pada hujung Mac lalu.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata cadangan BN untuk pengeluaran simpanan dari Akaun 1 KWSP sukar untuk dilaksanakan dan harus jadi pilihan akhir. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen