Dr Mahathir umum jadi blok bebas bersama Warisan 


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut mengulangi pendiriannya kekal menyokong Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini memutuskan beliau serta lima lagi ahli Parlimen kekal bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk berada di blok bebas di dalam dan di luar Parlimen.

Menurut kenyataan bersama dengan lima ahli Parlimen iaitu Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Shahruddin Md Salleh (Sri Gading) hari ini, Dr Mahathir menegaskan mereka tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.

Dr Mahathir turut mengulangi pendiriannya kekal menyokong Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri.

Katanya walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah menamakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri namun keputusan itu tidak melibatkan beliau dan rakan-rakannya dan Warisan.

“Kami masih lagi berpegang kepada cadangan yang dibuat hasil dari perbincangan antara saya dengan pemimpin Warisan, Amanah dan DAP pada 25 Jun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih berpegang kepada cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP yang mencadangkan Shafie sebagai calon perdana menteri, manakala Anwar dan Mukhriz masing-masing sebagai timbalan perdana menteri I dan II (pada mesyuarat 25 Jun).

Dr Mahathir berpandangan bahawa pencalonan Shafie sebagai perdana menteri adalah satu langkah positif yang perlu diambil demi meningkatkan hubungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. – Bernama, 10 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen