Muhyiddin mohon batal saman Dr Mahathir


Bede Hong

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memfailkan permohonan itu semalam bersama tiga defendan lain.– Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2020.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan tindakan saman terhadapnya oleh Dr Mahathir dan lima pemimpin lain, yang memohon beberapa perisytiharan mahkamah berhubung tindakan pemberhentian keahlian mereka dari parti.

Muhyiddin memfailkan permohonannya semalam, kata peguam Rosli Dahlan.

Permohonan itu difailkan bersama tiga defendan lain iaitu setiausaha agung Bersatu Hamzah Zainuddin, setiausaha kerja Muhammad Suhaimi Yahya, dan Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim.

Dr Mahathir mengemukakan kesnya bersama empat ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya serta bekas setiausaha agung Marzuki Yahya yang dipecat. Mereka juga memfailkan saman mewakili Bersatu sebagai plaintif ketujuh.

Menurut Rosli, Dr Mahathir tiada kuasa untuk bertindak bagi pihak parti.

“Tidak boleh bawa parti sebagai plaintif. Parti mesti jadi defendan. Mereka menuduh parti buat salah,” kata Rosli kepada wartawan di kompleks mahkamah di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau ditemui selepas sidang dalam kamar bersama peguam yang mewakili Dr Mahathir dan yang lain, di hadapan Hakim Rohani Ismail.

Dalam samannya, Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen yang menyokongnya antara lain meminta perisytiharan pemberhentian mereka dari parti pada 28 Mei lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Marzuki pula memohon perisytiharan beliau masih setiausaha agung yang sah dan pemecatannya terbatal kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Menurut Rosli, Muhyiddin juga mahu mahkamah mengetepikan tindakan saman ini atas alasan teknikal, kerana melanggar perlembagaan parti yang melarang ahli membawa urusan parti ke mahkamah.

Perkara 10.2.6 Perlembagaan Bersatu tidak membenarkan ahli membawa kemelut dalaman parti ke mahkamah.

Bagaimanapun, dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir dan plaintif lain memohon agar peruntukan itu tidak lagi terpakai kerana mereka sudah tidak dianggap sebagai ahli parti.

“Saman ini remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah,” kata Rosli.

Permohonan mengetepikan saman Dr Mahathir dan plaintif lain ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, tambahnya.

Mahkamah juga pada hari itu akan mendengar permohonan defendan untuk membatalkan Bersatu sebagai plaintif ketujuh, katanya.

Sementara itu, peguam Dr Mahathir Mohamed Haniff Khatri berkata permohonan plaintif untuk injunksi interim, untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai ahli dan pemimpin parti sementara pertikaian diselesaikan, juga akan didengar pada 9 Julai ini.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 9 Julai sebagai tarikh untuk pengurusan kes.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar permohonan Dr Mahathir dan plaintif lain bagi mendapatkan injunksi sementara sebelum perbicaraan kes utama.

Bersatu kini berpecah dua, antara yang menyokong Muhyiddin dan Dr Mahathir, susulan pendirian parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk kerajaan bersama Umno dan PAS, serta dukungan parti-parti lain dari komponen Barisan Nasional (BN) serta dari Sabah dan Sarawak.

Dr Mahathir membantah keputusan langkah politik Muhyiddin, dengan menyifatkannya tidak mendapat mandat pimpinan tinggi parti.– 18 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen