Dr Mahathir akan bersama Pakatan lawan kerajaan, kata Amanah


Pertemuan antara pimpinan Amanah dengan Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.– Gambar Facebook, 10 Mac, 2020.

AMANAH membayangkan Dr Mahathir Mohamad akan kembali bersama-sama Pakatan Harapan (PH) dalam gerakan “menyelamatkan Malaysia”, kata pemimpin Amanah, selepas pentadbiran Pakatan Harapan tumbang dan digantikan gabungan baharu Perikatan Nasional, minggu lalu.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata Dr Mahathir setuju untuk membawa kumpulannya dari Bersatu kembali bersama Pakatan Harapan untuk melawan kleptokrasi.

Mahfuz mendedahkan perkara itu selepas beliau dan barisan pimpinan Amanah mengadakan pertemuan selama sejam dengan Dr Mahathir, hari ini.

“Akhirnya capai kata sepakat untuk semua kembali bersama antara PH dan kumpulan Tun M untuk sekali lagi menyelamatkan Malaysia dari penguasaan parti kleptokrat Umno-BN yang menguasai kerajaan gabungan pengkhianat dan kleptokrat,” tulisnya di Facebook.

Dalam pertemuan di pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Amanah diketuai presidennya Mohamad Sabu, timbalan presiden Salahuddin Ayub, serta dua lagi naib presiden iaitu Mujahid Yusof dan Husam Musa.

Mahfuz turut memuat naik beberapa keping foto pertemuan tersebut, yang turut disertai Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya.

Sementara itu, dalam satu tulisan berasingan, Salahuddin menggambarkan perbincangan antara mereka dan Dr Mahathir berlangsung dengan baik, “dari hati ke hati.”

“Perbincangan hati ke hati. Alhamdulillah kata sepakat dicapai untuk semua pihak bersatu untuk sekali lagi selamatkan Malaysia dari penguasaan parti kleptokrat Umno-BN,” tulisnya.

Pentadbiran PH runtuh pada 24 Februari lalu apabila Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri, dan pada hari sama, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengambil keputusan menarik keluar partinya dari gabungan itu.

Keputusan mereka membawa kepada kemelut politik selama hampir seminggu yang berakhir dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri Malaysia yang kelapan.

Episod itu juga mencetuskan krisis dalam Bersatu apabila Dr Mahathir menegaskan beliau telah dikhianati oleh presidennya sendiri Muhyiddin apabila menjalin kerjasama dengan Umno, parti yang mereka tentang dan tumbangkan semasa pilihan raya umum yang lepas.

Beliau juga mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai jumlah sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan pada Sabtu 29 Februari lalu.

Hujung minggu lalu, Dr Mahathir mengakui Bersatu kini terpecah – antara mereka yang menyokong beliau dan yang menyokong Muhyiddin.

Beliau menyerahkan kepada ahli parti untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju Bersatu pada pemilihan parti yang akan berlangsung April ini.

Semalam, Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu yang bersama tidak hadir dalam rapat umum anjuran PH walaupun namanya tersenarai sebagai antara tokoh yang sepatutnya berucap. – 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen