Biar ahli tentukan pemimpin Bersatu, kata Dr Mahathir


Zaim Ibrahim

MASA depan Bersatu akan ditentukan oleh ahli parti dalam pemilihan jawatan tertinggi tidak lama lagi, kata Dr Mahathir Mohamad, selepas parti itu keluar Pakatan Harapan dan pentadbiran di Putrajaya runtuh diambil alih gabungan baharu bersama Umno dan PAS.

Bersatu kini terpecah dua, kata Dr Mahathir, merujuk pada kelompok yang mengikut beliau untuk mempertahankan pentadbiran sebelum ini dan penyokong Presiden Muhyiddin Yassin yang membentuk gabungan baharu atas nama Perikatan Nasional.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan beliau masih pengerusi parti yang sah kerana peletakan jawatannya ditolak, dan Muhyiddin bukanlah memangku tugasnya.

“Bersatu terpecah dua. Ada pihak ikut presiden parti dan ada pihak (ikut) pengerusi parti.

“Dalam perlembagaan, ada satu saja pengerusi dan satu parti. Tetapi sebahagian daripada parti dah terima Najib Razak (dan Umno). Masih ada bahagian bersama Bersatu tetapi ada fraksi yang ikut Najib.

“Kita ada pemilihan untuk tentukan siapa dia yang dipilih sebagai pemimpin parti,” kata Mahathir kepada media selepas menghadiri Kenduri Rakyat bersama Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir di Jitra, hari ini.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau masih pengerusi parti yang sah kerana peletakan jawatannya ditolak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2020.

Mengikut Perlembagaan Bersatu, pengerusi parti mempunyai kuasa mutlak dan bertanggungjawab memimpin parti.

Bersatu menetapkan 16 Mac ini untuk penamaan calon bagi pemilihan jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi, termasuk pengerusi dan presiden. Pemilihan akan dibuat oleh perwakilan bahagian yang berlangsung serentak di 189 bahagian pada 18 April ini.

Bersatu kini dilihat sebuah parti yang berkrisis kerana pengerusi dan presidennya sekarang terpisah, seorang menjadi ketua kerajaan sementara seorang lagi pembangkang.

Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 1 Mac lalu, menamatkan kemelut politik selama seminggu selepas pentadbiran Pakatan Harapan runtuh

Ia ekoran tindakan Dr Mahathir meletak jawatan perdana menteri pada  24 Februari, tidak lama selepas Muhyiddin menarik Bersatu keluar dari PH.

Pada hari sama, Dr Mahathir turut melepaskan jawatan pengerusi Bersatu. Bagaimanapun MPT Bersatu yang bermesyuarat pada malam tersebut menolak peletakan jawatan beliau.

Tiga hari kemudian, pada 27 Februari, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya mengumumkan Dr Mahathir setuju untuk kembali memegang jawatan sebagai pengerusi parti.

Bagaimanapun pada 29 Februari, ketika kemuncak kebuntuan politik menentukan perdana menteri, Muhyiddin dalam satu kenyataan berkata beliau memangku jawatan pengerusi Bersatu.

Muhyiddin membuat pengumuman itu beberapa jam selepas Dr Mahathir  mengumumkan sedia jadi perdana menteri dan sudah dapat sokongan PH. 

Muhyiddin ketika itu dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan baharu yang dibentuk oleh Bersatu bersama Umno dan PAS.

Menurut Muhyiddin, beliau memangku jawatan itu sehingga pemilihan semula diadakan susulan peletakan jawatan Dr Mahathir.

Kenyataannya bagaimanapun tidak menyebut keputusan MPT menolak peletakan jawatan Dr Mahathir.

The Malaysian Insight sebelum ini memetik sumber dalaman parti melaporkan, kedudukan Muhyiddin semakin kukuh dalam Bersatu setelah disahkan sebagai perdana menteri.  – 7 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen