Perlu kesedaran sivik untuk hadapi Covid-19, kata Dr Mahathir  


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut menggesa agar semua pihak mematuhi arahan kerajaan bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikekang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

RAKYAT Malaysia perlu ada kesedaran sivik dan mengambil berat tentang orang lain dan bukan hanya diri sendiri ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai rakyat dan warganegara yang berdisiplin berbanding negara lain di Timur.

“Sekiranya kerajaan minta kita lakukan sesuatu, kita buat kerana ia untuk kebaikan kita,” katanya dalam sesi wawancara Malaysia Junior Club di Facebook hari ini. 

“Ya, kita perlu fikir tentang ekonomi, tetapi kita juga perlu berhati-hati agar tidak dijangkiti.

“Jadi, patuhi perintah kawalan pergerakan. Kita masih boleh menyumbang dan kembangkan ekonomi tanpa menyebarkan wabak.”

Dr Mahathir juga berkata, sekiranya rakyat tidak bekerja barulah ekonomi tidak akan berkembang.

“Tak mengapa untuk bekerja, tetapi kalau boleh, cuba jangan keluar. Elakkan orang ramai. Kamu boleh membeli-belah tetapi ia perlu dihadkan.

“Sekiranya bercampur dengan orang ramai, ada kemungkinan kamu akan dijangkiti virus, kamu akan sebarkan kepada orang lain atau mungkin dijangkiti dari orang lain.

“Ia virus berbahaya yang boleh membawa maut. Terutamanya kepada orang tua yang berumur 60 tahun ke atas. Itu sebabnya saya perlu lebih berhati-hati.”

Dr Mahathir turut mengulas mengenai negara barat yang mahukan kebebasan namun enggan mematuhi arahan kerajaan.

“Malah mereka berdemonstrasi membantah perintah berkurung dan mereka terus bergerak, seperti di Brazil dan Amerika Syarikat dan kini ramai yang sudah dijangkiti.

“Di AS lebih 350,000 orang telah dijangkiti dan berjuta penduduk terjejas.

“Di Brazil sudah pasti presiden tidak mahu rakyatnya berhenti bekerja kerana ia akan menjejaskan ekonomi.”

Malaysia mencatatkan 10 kes jangkitan baharu hari ini, yang terendah sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

Tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, dan jumlah kematian kekal 115 manakala jumlah jangkitan adalah 7,629. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen