Dr Mahathir rayu pemimpin Bersatu tidak paksanya mungkir janji, kata Kadir


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin mendakwa Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan daripada parti kerana merasakan majoriti majlis pimpinan parti "lebih mendengar cakap setiausaha politiknya berbanding dirinya sendiri".– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Februari, 2020.

DR Mahathir Mohamad didakwa merayu kepada pemimpin Bersatu agar tidak memaksanya melanggar janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A. Kadir Jasin.

Menurutnya, Dr Mahathir meletakkan jawatan daripada parti kerana merasakan majoriti majlis pimpinan parti “lebih mendengar cakap setiausaha politiknya berbanding dirinya sendiri”.

Kadir merujuk kepada perdebatan hangat dalam mesyuarat Bersatu yang diadakan Ahad lalu membincangkan hala tuju Bersatu dalam Pakatan Harapan.

“Pada mesyuarat itu, Mahathir menjelaskan mandat yang diberikan Majlis Presiden PH pada mesyuarat 21 Februari,” kata Kadir dalam artikel terbaharu di blognya hari ini.

“Beliau merayu kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk tidak memaksanya mengenepikan prinsip dan melanggar janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Persidangan APEC).

“Tapi daripada apa yang dapat dilihat, beliau tidak melihat rayuan mereka sebagai perkara yang penting. Memang sewajarnya begitu. Ada banyak perkara lain yang lebih penting yang memerlukan perhatiannya.”

Kadir berkata perkara yang penting itu termasuklah menguruskan ekonomi, menstabilkan pasaran, meneruskan cadangan pakej ransangan ekonomi, berunding dengan ketua-ketua penjawat awam dan berjumpa dengan parti-parti politik utama.

“Agenda yang terakhir akan membantu beliau memahami dengan lebih jelas sejauh mana sokongan yang mereka nyatakan untuknya dan, dari situ, untuk merancang langkah seterusnya.

“Sebagai contoh, adakah mereka menyokongnya kerana mereka benar-benar mahu dia terus memimpin negara atau kerana mereka tidak mahu musuh mereka memenangi undi popular untuk menjadi perdana menteri?

“Sekiranya sokongan itu ikhlas dan tidak ada pesaing lain, dia boleh mula membentuk kerajaan baru,” tambah Kadir. – 25 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen