Sokong Shafie sama seperti sokong saya, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad akan berkempen untuk Mohd Shafie Apdal dan menjelaskan kepada akar umbi mengenai keputusannya memilih presiden Warisan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

DR Mahathir Mohamad mengumumkan sokongannya kepada Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri untuk Pakatan Harapan (PH) Plus sekiranya gabungan itu menang kuasa persekutuan pada pilihan raya akan datang.

Bercakap kepada ahli Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam, bekas ketua parti itu berkata beliau akan berkempen untuk Shafie dan menjelaskan kepada akar umbi keputusannya memilih Shafie.

“Saya harap kita semua faham, walaupun saya tak jadi calon tetapi ini adalah orang yang sebulu dengan saya dan kita semua, iaitu dia melawan kleptokrat… sebab itu kita perlu sokong Shafie,” kata pemimpin berusia 94 tahun itu pada “Perjumpaan Bersama Ahli Akar Umbi Bersatu”.

“Bagi saya, itu sama dengan sokong saya. Saya akan sokong Shafie. Walaupun ada pertukaran sedikit, saya harap akar umbi akan beri sokongan kepada calon kita, Shafie Apdal,” kata Dr Mahathir.

DAP, Amanah dan Warisan pada awalnya mencalonkan Dr Mahathir berbanding Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri tetapi Anwar berkata ia tidak akan menerima bekas perdana menteri dua kali itu kembali bertugas untuk kali ketiga.

Difahamkan, Dr Mahathir menawarkan Shafie untuk mengisi jawatan tersebut untuk memecahkan kebuntuan berhubung calon perdana menteri.

Gesaan untuk Shafie menjadi calon perdana menteri menarik perhatian malam tadi apabila Naib Presiden Warisan Junz Wong menulis di Facebook yang Sabah dan Sarawak adalah rakan setara dalam pembentukan Malaysia, tiada kurangnya dari Semenanjung, sambil menambah tiada warga kelas kedua.

“Malah aspirasi untuk melihat seorang Sabahan (atau Sarawakian) memimpin negara Malaysia sebagai perdana menteri suatu hari nanti bukan mustahil,” kata Wong tanpa menyebut nama.

Pakatan Harapan hilang kuasa persekutuan selepas Bersatu menarik diri daripada perjanjian pada Februari yang menyebabkan kejatuhan gabungan itu selepas hanya 22 bulan menjadi kerajaan.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa 11 ahli Parlimen yang berpaling tadah daripada PKR dan membentuk pakatan dengan Umno, PAS untuk membentuk Perikatan Nasional. – 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen