Kerjasama laksana PKPB atau negeri boleh disaman, kata Azmin


Kelonggaran PKP dibuat berasaskan undang-undang yang sah dan mengikut kuasa Persekutuan, dan akan mempunyai kesan perundangan sekiranya tidak dilaksanakan di negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 Mei, 2020.

SEMUA negeri sepatutnya berganding bahu membuka semula ekonomi selaras dengan keputusan Putrajaya melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Kanan Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kelonggaran itu dibuat berasaskan undang-undang yang sah dan mengikut kuasa Persekutuan, dan akan mempunyai kesan perundangan sekiranya tidak dilaksanakan di negeri.

“Sekiranya kerajaan negeri enggan bekerjasama melaksanakan Akta 342 yang diwartakan sebagai undang-undang yang dikuatkuasakan di seluruh negara, kerajaan negeri boleh berdepan dengan kemungkinan tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak terutamanya pemain industri,” kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini.

Azmin merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang memberi kuasa kepada menteri kesihatan untuk mengeluarkan peraturan membendung penyakit berjangkit di kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan.

Menurut Azmin, keputusan Putrajaya membuka semula ekonomi bukan dibuat tergesa-gesa sebaliknya “berhati-hati dan bertanggungjawab”.

Katanya, keputusan itu juga dibuat berasaskan data daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Bank Negara, dan Khazanah Nasional Berhad.

Jelas beliau, dapatan itu dibentangkan dalam perbincangan dengan menteri besar dan ketua menteri bersama Majlis Keselamatan Negara pada Selasa lepas, 28 April. 

Dapatan itu menunjukkan sekiranya PKP berterusan sehingga Jun, negara akan menanggung kerugian mencecah RM146 bilion, kurang 10.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), kata Azmin.

“Ini boleh melenyapkan kejayaan ekonomi yang dicapai sejak empat tahun lalu,” katanya.

Perbincangan bersama menteri besar dan ketua menteri itu sepakat sektor ekonomi akan dibuka semula pada 4 Mei, kata Azmin.

“Untuk penjelasan, SOP (pelaksanaannya) diserahkan kepada semua kerajaan negeri pada 2 Mei, sebelum pelaksanaan PKPB,” tambahnya.

Tiga hari selepas perbincangan itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja (1 Mei) mengumumkan hampir semua perniagaan dan sektor ekonomi dibenar beroperasi semula mulai hari ini, tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Azmin juga berkata langkah Malaysia membuka semula ekonominya selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Azmin mengeluarkan kenyataan lewat petang ini selepas hanya Wilayah Persekutuan dan tiga negeri – Perlis, Melaka, dan Terengganu – melaksanakan sepenuhnya usaha membuka semula ekonomi itu, selepas terkurung sejak 18 Mac lalu.

Selangor dan Perak mengubah suai peraturan sementara Sabah dan Sarawak mengekalkan PKP sedia ada sehingga 12 Mei. PKP Tahap 4 itu bagaimanapun sudah termansuh dengan berkuatkuasanya PKP Tahap 5 hari ini.

Negeri-negeri lain pula menangguhkan pelaksanaannya sehingga hujung minggu ini untuk perbincangan lanjut di peringkat negeri.

Awal hari ini, sekurang-kurangnya dua pemimpin kanan Umno – Naib Presiden Mohamed Khalid Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi Abdul Rahman Dahlan – mengkritik Azmin yang dianggap gagal meyakinkan negeri-negeri untuk bersama-sama Putrajaya membuka semula ekonomi hari ini.

Pada permulaan PKP, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mewartakan semua 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan pada 16 Mac, dua hari sebelum sekatan pergerakan itu berkuat kuasa bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Semalam, Dr Adham mewartakan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) No 5 2020, yang dikenali umum sebagai perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB). – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen