WP dan 3 negeri teruskan PKPB esok


Anggota tentera masih berkawal di kawasan PKPD walaupun kerajaan pusat mengumumkan pelaksanaan PKPB bermula 4 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

HANYA Wilayah Persekutuan dan tiga negeri iaitu Perlis, Melaka dan Terengganu akan melonggarkan kegiatan ekonomi esok mengikut perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), seperti pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kelmarin membuka semula ekonomi Malaysia selepas sekatan pergerakan sejak 18 Mac lalu.

Selangor dan Perak melaksanakan PKPB namun dengan syarat tambahan terutamanya peraturan yang melibatkan operasi kedai makan dan kegiatan sukan.

Semua negeri lain sama ada tidak melaksanakan kelonggaran yang diberi atau menangguhkan pelaksanaannya untuk beberapa hari bagi memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP), syarat dan kaedahnya.

Perlis yang meneruskan PKPB seperti di Wilayah Persekutuan esok bagaimanapun turut meneliti dan membuat keputusan pada Selasa untuk menambah  baik syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Langkah PKPB yang telah ditambahbaik akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan kepada kemajuan perkembangan semasa Covid-19 di Perlis,” kata kerajaan negeri dalam satu kenyataan hari ini.

Negeri-negeri lain bagaimanapun mengabaikan keputusan yang dibuat di peringkat persekutuan dengan meneruskan pengawalan sedia ada, yang sepatutnya berakhir pada 12 Mei ini.
 
Sarawak adalah negeri pertama membuat keputusan tidak melaksanakan PKPB, yang diumumkan semalam (2 Mei) diikuti negeri-negeri lain yang mengumumkan penangguhan masing-masing.

Sabah juga menangguhkan pelaksanaan PKPB sebaliknya mengekalkan PKP Tahap 4 yang sedang berjalan sehingga 12 Mei.

Anggota tentera membuka semula kawat duri di kawasan PKPD selepas kerajaan pusat melonggarkan PKP di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

Dua negeri iaitu Kedah dan Johor menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) masing-masing. JKKN Johor bermesyuarat esok manakala Kedah pada Selasa.

Pahang menangguhkan keputusan sehingga mesyuarat exco negeri pada Jumaat sementara Kelantan menangguhkannya sehingga keputusan dibuat pada Khamis.

Pulau Pinang juga menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga Jumaat sementara pihak kerajaan negeri menyediakan garis panduan lebih tersusun untuk mengekang penularan Covid-19.

Perak pula melaksanakan PKPB secara terhad, antaranya membenarkan lanjutan waktu operasi kedai makan namun hanya untuk dibawa pulang atau penghantaran, kata setiausaha kerajaan negeri Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Pejabat kerajaan negeri juga akan beroperasi semula esok, katanya.

Penyesuaian di Selangor

Penyesuaian yang dibuat di Selangor antaranya ialah membenarkan kedai makan beroperasi antara 7 pagi hingga 10 malam mengikut PKPB tetapi masih tidak boleh menerima pelanggan untuk duduk makan di kedai, seperti syarat selama ini di bawah PKP.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari juga mengumumkan taman awam di negeri itu masih ditutup sementara aktiviti pendakian misalnya di Bukit Gasing masih dilarang. Taman komuniti bagaimanapun boleh dibuka antara 7 pagi hingga 7 malam.

Bagaimanapun ini berbeza dengan di Kuala Lumpur yang akan membuka semua taman awam di bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai esok, namun terhad untuk kegiatan berjogging.

Ini menjadikan misalnya, Taman Tasik Ampang Hilir di bawah kendalian DBKL boleh dibuka walaupun berada di pinggir sempadan Ampang di Selangor.

Pekerja sebuah restoran membuat persiapan untuk membuka semula operasi perniagaan selepas kerajaan melonggarkan PKP bermula 4 Mei. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Mei, 2020

PKPB yang diumum oleh Muhyiddin dalam ucapannya pada 1 Mei membenarkan acara sukan perorangan atau sukan tanpa sentuhan secara individu seperti berjogging, berbasikal, dan bermain badminton.

DBKL bagaimanapun esok masih menutup perpustakaan awam, dewan serbaguna, kompleks sukan dan Dataran Merdeka.

Dalam ucapannya pada 1 Mei, Muhyiddin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula esok, tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antaranya, semua tempat makan yang boleh menerima pelanggan untuk duduk dan makan di kedai antara 7 pagi hingga 10 malam, sementara lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk beroperasi sehingga 10 malam antaranya kompleks membeli belah, butik pakaian, dan kedai dobi termasuk layan diri.

Kedai buku dan alat tulis, kedaia perabot, dan kedai emas juga misalnya dibenarkan dibuka sehingga 8 malam.

Firma guaman hanya dibenarkan dibuka bagi urusan pindah hak milik (conveyancing) sementara mahkamah masih ditutup walaupun beberapa kes dijalankan secara dalam talian.

Setakat tengah hari ini, 122 kes baharu positif Covid-19 dikesan di seluruh Malaysia menjadikan keseluruhan kes 6,298, dengan 1,780 kes masih aktif.

Ini adalah peningkatan tiga angka untuk hari kedua berturut-turut, memecahkan rekod pertambahan dua angka selama 16 hari sebelumnya. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen