PKPB di Pulau Pinang bermula 8 Mei, kata Ketua Menteri 


Zaim Ibrahim

Pasar raya Segama di Kota Kinabalu, Sabah ditutup susulan perintah kawalan pergerakan. Negeri itu antara negeri yang tidak akan menguatkuasakan kelonggaran yang diberi Putrajaya bermula esok. – Gambar fail The Malaysian Insight,3 Mei, 2020.

PULAU Pinang menyertai beberapa negeri lain tidak melonggarkan kegiatan perniagaan dan sosial esok, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sebaliknya menangguhkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sehingga Jumaat ini (8 Mei).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata tempoh antara Isnin dan Khamis akan digunakan untuk menyediakan garis panduan lebih tersusun untuk mengekang penularan Covid-19.

“Tempoh empat hari adalah bagi membolehkan pihak syarikat, majikan, pekerja, ibu bapa dan lain-lain merancang operasi serta pergerakan masing-masing. 

“Ini termasuk penyediaan kelengkapan seperti sanitasi tangan, penjarakan sosial, peraturan pemakaian pelitup muka dan sebagainya demi keselamatan bersama di premis-premis seliaan,” katanya dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Beliau menamakan tempoh empat hari itu sebagai “fasa persiapan”.

“Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkara ini,” tambahnya.

Selain Pulau Pinang, Pahang juga menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga keputusan mengenainya dibuat oleh exco kerajaan negeri yang akan bermesyuarat pada Jumaat.

Sementara itu, empat negeri lain – Sarawak, Kedah, Sabah, Negeri Sembilan – sudah membuat pengumuman antaranya sejak semalam tidak mengikut kelonggaran yang ditetapkan oleh Putrajaya. 

Pada 1 Mei, Muhyiddin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula esok, tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antaranya, semua tempat makan boleh menerima pelanggan untuk duduk dan makan di kedai antara 7 pagi hingga 10 malam.

Chow berkata pelan pemulihan itu dilakukan bagi mencapai beberapa objektif.

“Matlamat utama adalah pencegahan kesesakan orang ramai, membiasakan orang ramai mematuhi SOP daripada Majlis Keselamatan Negara serta pembukaan sektor ekonomi secara berfasa,” katanya.

Tambahnya, hanya beberapa industri akan dibenarkan beroperasi bermula Jumaat depan sehingga 12 Mei, iaitu hari terakhir PKP.

Antaranya, pengangkutan (udara, darat), pembuatan, perkhidmatan ikhtisas dan profesional, kewangan, perhotelan dan peruncitan.

Bermula 13 Mei pula, beberapa aktiviti dan industri akan ditambah beroperasi antaranya, sukan, perpaduan, industri kreatif dan kebudayaan serta keseniaan.

“Dua sektor yang masih dalam pertimbangan dan masih tidak dibenarkan adalah pendidikan, sektor penjagaan sosial (taska),” tambahnya.

Sehingga 2 Mei, Pulau Pinang hanya mencatatkan 121 kes positif Covid 19 dan 118 kes sudahpun pulih.

Sejak 14 hari lalu, semua zon di negeri itu kini zon hijau apabila tiada pertambahan kes kecuali di Mukim 16, Seberang Perai Utara dengan dua kes. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen