Pahang tangguh PKPB sehingga mesyuarat exco Jumaat, kata MB


Polis menjalankan sekatan jalan raya semasa perintah kawalan pergerakan di Kuala Lumpur. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Mei, 2020.

PAHANG menangguhkan kelonggaran yang diberi oleh Putrajaya terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula esok sehingga ia meneliti keadaan semasa penularan pandemik Covid-19 di negeri itu, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Pahang membuat keputusan itu ketika empat negeri setakat ini – Sarawak, Kedah, Sabah, Negeri Sembilan – sah tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Wan Rosdy berkata sehingga mesyuarat exco kerajaan negeri yang bermesyuarat pada Jumaat ini membuat keputusan, segala peraturan yang berkuat kuasa di bawah PKP kekal.

“Sepertimana semua maklum, negeri Pahang kini sedang menghadapi kemunculan kluster baharu. Oleh itu, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya.

“Justeru, Kerajaan Pahang sedang memperhalusi langkah-langkah pelaksanaan PKPB supaya apabila mana-mana sektor dibuka tidak akan menyebabkan penularan baharu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Wan Rosdy, Pahang menyokong pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan PKPB namun mahu ia dibincang lebih lanjut dalam mesyuarat exco negeri.

Selain empat negeri yang sudah mengumumkan pendirian, Selangor dan Pulau Pinang dijangka membuat keputusan sama hari ini. 

Pada 1 Mei, Muhyiddin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula esok, tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antaranya, semua tempat makan yang boleh menerima pelanggan untuk duduk dan makan di kedai antara 7 pagi hingga 10 malam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan sebuah pusat tahfiz di Temerloh, Pahang dikenal pasti sebagai kluster baharu selepas enam orang dari masdrasah itu disahkan positif Covid-19.

Beliau tidak menolak kemungkinan kawasan itu akan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) untuk membendung penularan.

“Kita akan membuat saringan kesihatan pada semua pelajar, kakitangan dan guru tahfiz di madrasah berkenaan,

“Malah individu yang mempunyai kontak rapat dengan enam individu yang dijangkiti itu juga akan dikuarantinkan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, semalam.

Selain enam kes di sekolah tahfiz itu, Pahang juga semalam mengesan dua kes baharu yang lain iaitu di mukim Dong, Raub dan mukim Mentakab, juga di Temerloh.

Setakat semalam, masih ada 56 kes Covid-19 yang masih aktif di Pahang, daripada keseluruhan 305 kes. – 3 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen