Negeri tidak laksana PKPB jejas wibawa Perikatan Nasional, kata Khaled Nordin


Naib Presiden Umno, Mohamed Khalid Nordin berkata apa yang berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Perikatan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mei, 2020.

TINDAKAN kebanyakan negeri tidak melonggarkan perintah kawalan pergerakan yang sepatutnya bermula hari ini menunjukkan kelemahan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khalid Nordin.

Beliau menyifatkan keputusan beberapa kerajaan negeri itu sebagai “di luar jangkaan” dan menjejaskan kewibawaan PN untuk menangani pemulihan ekonomi pasca penularan Covid-19.

“Apa yang berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanya Wilayah Persekutuan dan tiga negeri – Perlis, Melaka, dan Terengganu – melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sepenuhnya hari ini.

Selangor dan Perak mengubah suai peraturan sementara Sabah, Sarawak mengekalkan PKP sedia ada sehingga 12 Mei. Negeri-negeri lain menangguhkan pelaksanaannya sehingga hujung minggu ini untuk perbincangan lanjut di peringkat negeri.

“Kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan,” tambah Khaled.

Khaled menyalahkan menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali atas tindakan kebanyakan negeri yang beliau dakwa gagal mengatur strategi untuk Malaysia keluar daripada kesan wabak Covid-19.

“Satu masalah nyata ialah kegagalan menteri kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi (Azmin) berbincang, berunding dan mendapatkan konsensus dari semua kerajaan negeri sebelum keputusan tersebut diumumkan.

“Adalah sangat penting untuk keputusan sepenting ini di bawa ke perbincangan dengan semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua. Namun ia jelas tidak dilaksanakan,” katanya.

Khaled juga berpendapat tindakan negeri-negeri mengambil jalan yang berlainan dengan kerajaan persekutuan menunjukkan naratif baharu dalam sistem federalisme.

Zaman segala-galanya pada kerajaan pusat sudah berakhir, katanya.

“Hubungan kerajaan pusat dengan negeri-negeri dalam Persekutuan telah menampakkan ‘the new normal’ (kelaziman baharu).

“Zaman di mana semua kebitaraan adalah pada kerajaan pusat telah berakhir,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan ekonomi Malaysia dibuka semula hari ini dengan kelonggaran ke atas PKP yang sudah berjalan sejak 18 Mac.

Mulai hari ini hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi semula, tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Antaranya, semua tempat makan yang boleh menerima pelanggan untuk duduk dan makan di kedai antara 7 pagi hingga 10 malam, sementara lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk beroperasi sehingga 10 malam antaranya kompleks membeli belah, butik pakaian, dan kedai dobi termasuk layan diri.

Kedai buku dan alat tulis, kedaia perabot, dan kedai emas juga misalnya dibenarkan dibuka sehingga 8 malam.

Setakat tengah hari semalam, 122 kes baharu positif Covid-19 dikesan di seluruh Malaysia menjadikan keseluruhan kes 6,298, dengan 1,780 kes masih aktif.

Ini adalah peningkatan tiga angka untuk hari kedua berturut-turut, memecahkan rekod pertambahan dua angka selama 16 hari sebelumnya. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen