Memalukan, negeri-negeri tak ikut Putrajaya, kata Rahman Dahlan


Chan Kok Leong

BELUM pernah berlaku dan memalukan apabila sembilan negeri mengabaikan keputusan kerajaan Persekutuan melonggarkan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula hari ini, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan.

Bekas menteri dalam pentadbiran Barisan Nasional itu berkata, ada sesuatu yang tidak kena kalau sampai sembilan daripada 13 negeri tidak melaksanakan apa yang diputuskan oleh kerajaan Persekutuan.

“Ada yang tidak kena dengan komunikasi kalau sembilan negeri tidak ikut kerajaan Persekutuan.

“Ini sepatutnya dibuat oleh menteri bertanggungjawab terhadap ekonomi,” katanya, merujuk kepada menteri kanan ekonomi Mohamed Azmin Ali.

“Adakah beliau berunding dengan negeri-negeri, terutamanya apabila premis dan operasi perniagaan di bawah bidang kuasa negeri?” tanyanya.

Abdul Rahman ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini apabila hanya Wilayah Persekutuan dan tiga negeri – Perlis, Melaka, dan Terengganu – melaksanakan sepenuhnya usaha membuka semula ekonomi itu, selepas terkurung sejak 18 Mac lalu.

Selangor dan Perak mengubah suai peraturan sementara Sabah dan Sarawak mengekalkan PKP sedia ada sehingga 12 Mei.

PKP Tahap 4 itu bagaimanapun sudah termansuh dengan berkuatkuasanya PKP Tahap 5 hari ini.

Negeri-negeri lain pula menangguhkan pelaksanaannya sehingga hujung minggu ini untuk perbincangan lanjut di peringkat negeri.

Kelonggaran itu diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Abdul Rahman yang pernah mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) berkata Azmin gagal berunding dengan negeri sebelum kelonggaran sekatan atau PKPB diumum.

“Untuk tangani krisis seperti ini, beliau perlu buat banyak perbincangan dan sidang video dengan orang lain.

“Tapi ini nampak macam satu tamparan hebat padanya kerana gagal menyelaraskan pembukaan semula perniagaan dengan kerajaan negeri.

“Ini isyarat kepada beliau dan kerajaan supaya jangan ambil mudah. Ini memalukan dan tidak pernah berlaku,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, Azmin sepatutnya lebih tahu kerana beliau pernah jadi menteri besar Selangor.

“Melonggarkan PKP adalah langkah besar.

“Jangan lupa, Azmin bekas menteri besar Selangor. Ini serius,” katanya.

Awal hari ini, Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin juga menyalahkan Azmin atas tindakan negeri-negeri tidak sama-sama melonggarkan PKP hari ini.

Katanya, tindakan negeri-negeri itu menjejaskan wibawa pentadbiran Perikatan Nasional. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen