PKPB tetapkan 13 bentuk aktiviti terlarang


PUTRAJAYA menetapkan 13 bentuk aktiviti terlarang dalam peraturan baharu yang berkuat kuasa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula hari ini, menurut peraturan yang diwartakan semalam.

Antara yang dilarang ialah kegiatan yang boleh menyebabkan perhimpunan orang ramai seperti hiburan, riadah, rekreasi, perayaan agama, kebudayaan dan kesenian.

Beberapa jenis pekerjaan dan urusan dalam perniagaan juga dilarang, berdasarkan peraturan itu yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Tiada seorang pun boleh melakukan, menganjurkan, mengusahakan atau selainnya terlibat dalam, mana-mana aktiviti terlarang,” kata Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020.

Peraturan No. 5 ini membatalkan Peraturan No. 4 sebelumnya, yang berkuat kuasa antara 29 April hingga semalam (3 Mei).

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya berkata PKPB yang bermula hari ini adalah lanjutan daripada PKP yang dikuatkuasakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Apa yang diwartakan di bawah PKP 4 sudah pun terbatal dengan sendiri kerana kita sudah menggantikannya dengan peraturan baharu di bawah PKP 5 (PKPB),” katanya.

“Seluruh negara masih tertakluk di bawah akta dan peraturan di bawahnya.”

PKPB dikuatkuasakan hari ini selepas pengumuman oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu dalam ucapannya sempena sambutan Hari Pekerja yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Dalam ucapannya Muhyiddin berkata bermula hari ini, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula, tertakluk kepada syarat-syarat dan tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Ini adalah peraturan edisi kelima yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, mengikut kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Peraturan yang baharu ini berkuat kuasa bermula hari ini sehingga 12 Mei.

Peraturan ini membenarkan seseorang untuk bergerak untuk pergi dan balik kerja, berbanding peraturan sebelum ini yang menghadkan pergerakan hanya bagi tujuan mendapatkan barangan perlu atau bagi tujuan kesihatan.

Pergerakan itu bagaimanapun terhad hanya dalam sesebuah negeri atau wilayah persekutuan, yang disebut sebagai “kawasan tempatan jangkitan”. Pergerakan merentas negeri pula perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis, kata peraturan itu.

Dr Adham mewartakan 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan pada 16 Mac, dua hari sebelum PKP berkuat kuasa.

Di bawah peraturan baharu ini juga, orang ramai dibenarkan untuk bergerak tidak lebih empat orang dalam sebuah kereta persendirian.

Semua jenis teksi, kereta sewa atau kenderaan e-hailing bagaimanapun hanya dibenarkan membawa dua penumpang, manakala pengangkutan awam lain termasuk laut dan udara hanya dibenarkan beroperasi tidak lebih separuh kapasiti maksimum jumlah penumpang.

Sabah dan Sarawak bagaimanapun memilih tidak melaksanakan PKPB manakala negeri-negeri lain menangguhkannya untuk diteliti lebih lanjut. 

Hanya tiga Wilayah Persekutuan serta Perlis, Melaka, dan Terengganu yang melaksanakannya bermula hari ini sementara Perak dan Selangor melaksakannya dengan sedikit pengubahsuaian. – 4 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen