Impak harga minyak sudah diambil kira dalam defisit belanjawan, kata menteri


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz  berkata ini mencerminkan anggaran defisit sepanjang tahun yang berdasarkan kepada jangkaan harga minyak tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2020.

KEMENTERIAN Kewangan telah mengambil kira impak penurunan harga minyak dalam pengiraan unjuran defisit belanjawan melebihi 4.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz  berkata ini mencerminkan anggaran defisit sepanjang tahun yang berdasarkan kepada jangkaan harga minyak tertentu.

“Jika harga minyak merosot hingga ke paras lebih rendah daripada anggaran purata tahunan, kerajaan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan untuk mengimbangi penyusutan pendapatan.

“Kerajaan juga akan terus memantau dengan rapat perkembangan harga minyak,” katanya.

Pada awal bulan ini, beliau berkata defisit belanjawan akan meningkat kepada 4.7% daripada KDNK berikutan tambahan RM10 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata perhatian umum terhadap harga minyak itu adalah difahami memandangkan ianya dipengaruhi faktor-faktor geopolitik global.

Namun, tegas beliau, adalah penting untuk turut memahami bagaimana Malaysia juga mempunyai asas-asas ekonomi yang pelbagai.

“Memandang ke hadapan, Kementerian Kewangan akan meneliti langkah-langkah untuk menyusun semula struktur ekonomi bagi meningkatkan kepelbagaian ekonomi selain melaksanakan dasar fiskal dan kewangan yang lebih baik untuk membangunkan daya tahan ekonomi negara,” jelas beliau. – Bernama, 21 April, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen