Syukur, tapi B40 harap lebih lagi dalam Belanjawan 2020


Sheridan Mahavera Zaim Ibrahim Jason Santos

Isi rumah B40 akan dapat RM12 sebulan untuk satu motosikal atau RM30 sebulan untuk satu kereta bagi membantu mensubsidi kos RON95 yang harganya akan diapungkan secara berperingkat tahun depan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

BAGI Zaidi Othman, RM12 sebulan subsidi kos RON95 bagi motosikalnya tidak begitu memberi kesan untuknya yang mempunyai lapan anak.

“Sekarang anda isi motosikal 1,000 CC, kena bayar RM7 hingga RM8. Jadi beri saya RM12 sebulan Cuma dapat bantu saya isi minyak sekali dalam sebulan,” katanya yang bekerja di syarikat hartanah.

Penduduk Klang itu antara mereka yang berpendapatan rendah merasakan Belanjawan 2020 kerajaan Pakatan Harapan (PH)) dapat buat lebih lagi untuk keluarga B40 sepertinya, yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Terutamanya dengan jangkaan kenaikan harga petrol tahun depan apabila kerajaan melaksanakan sistem subsidi petrol bersasar (PSP).

Di bawah program itu, isi rumah B40 akan dapat RM12 sebulan untuk satu motosikal atau RM30 sebulan untuk satu kereta bagi membantu mensubsidi kos RON95 yang harganya akan diapungkan secara berperingkat tahun depan.

Bagaimanapun, sebahagian keluarga B40 mengalu-alukan insentif seperti bagi membantu wanita kembali bekerja, pengurangan tol di sebahagian lebuh raya dan elaun khas bagi penjawat awam.

Zaidi, dari Terengganu tetapi bekerja di Klang, turut mempersoalkan apa yang didakwanya belanjawan itu berat sebelah ke arah negeri Pantai Barat dan Timur, berkata peruntukan kelihatan kurang untuk Kelantan dan Terengganu.

“Diskaun tol untuk PLUS dan lebuh raya antara bandar tidak akan beri faedah kepada orang di Kelantan dan Terengganu. Mereka masih perlu bayar bayaran tol penuh di LPT (Lebuhraya Pantai Timur),” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Dalam belanjawan tahun depan bernilai RM297 bilion, Putrajaya mengumumkan tol di bawah PLUS Highways Berhad berpotensi dikurangkan secara purata 18%, sementara empat lebuh raya antara bandar akan menyaksikan tol digantikan dengan caj kesesakan.

Bukan hanya bantuan

Kerajaan juga mengumumkan kenaikan elaun dan bantuan untuk petani, nelayan dan peladang kecil getah dan kelapa sawit.

Elaun untuk nelayan bagi musim hujan dinaikkan kepada RM250 sebulan sementara RM200 juta diperuntukkan untuk bantuan pekebun getah pada musim hujan.

Penoreh dan pekebun getah berharap lebih lagi diberikan dalam Belanjawan 2020, bukan hanya elaun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2019.

Walaupun mereka mengalu-alukan bantuan itu, pekebun dan nelayan berkata mereka mengharapkan langkah lebih kreatif untuk merangsang pendapatan dalam industri mereka.

“Elaun itu bagus tetapi tidak ada butiran tentang program untuk nelayan,” kata nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad. 

Nazri menantikan butiran tentang sama ada kerajaan akan meneruskan skim subsidi diesel untuk nelayan dan program bagi menambah pendapatan mereka di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Apa yang penting ialah peruntukan dari LKIM dan bagaimana kami dapat menyokong masyarakat ini.”

Ainol Salleh Shafie berpendapat yang sama bagi industri getah, berkata penoreh dan pekebun berharap lebih lagi diberikan, bukan hanya elaun.

“Bantuan musim hujan itu bagus tetapi ia tidak menyelesaikan masalah kami. Apa yang kami mahu ialah harga getah naik RM4 atau RM3 sekilogram. Jika harga naik maka kami tidak perlukan bantuan.”

Ainol mencadangkan kerajaan menggunakan bantuan itu untuk membuka loji pemprosesan untuk membeli getah dihasilkan oleh pekebun dan penoreh bagi memastikan harga naik. – 12 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen