15 juta rakyat terima RM30 menerusi e-dompet mulai esok


Ragananthini Vethasalam

KIRA-KIRA 15 juta rakyat Malaysia dijangka menerima insentif e-dompet sebanyak RM30 bermula esok, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Inisiatif di bawah skim e-Tunai Rakyat yang selaras oleh dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd akan menampilkan tiga operator e-dompet iaitu Grab, Boost and Touch ‘n Go.

“Mulai esok, setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas berpendapatan kurang RM100,000 setahun akan layak menerima RM30 melalui salah satu pengendali e-dompet, iaitu Grab, Boost and Touch ‘n Go,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kerajaan memperuntukkan RM450 juta untuk inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2020.

Pembayaran RM30 ini merupakan sebahagian daripada langkah Putrajaya menggalakkan penggunaan pembayaran tanpa tunai di Malaysia.

 Walaupun kerajaan akan memperuntukkan RM30, terdapat insentif tambahan daripada pengendali e-dompet.

“Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 wang percuma,” katanya.

Amaun tersebut perlu dibelanjakan sebelum 14 Mac dan sebarang wang yang tidak dibelanjakan akan tamat pada tarikh akhir.

Permohonan akan dibuka di platform e-dompet masing-masing dari 8 pagi esok dan berakhir 9 Mac.

Pemohon yang layak boleh memilih salah satu daripada tiga platform dan permohonan yang berjaya boleh “berbelanja dengan pembiayaan kerajaan” untuk mana-mana barangan dan perkhidmatan yang terdapat pada platform e-dompet yang dipilih.

Ia akan mengambil masa sehingga lima hari untuk memproses permohonan dan wang dikreditkan.

Tempoh dua bulan juga akan membolehkan para pedagang lain untuk mendaftar.

Lim berkata selain memenuhi janji Pakatan Harapan, inisiatif ini juga menjadi komitmen Putrajaya untuk memenuhi agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dengan mengurangkan jurang digitalisasi dan meningkatkan keterangkuman kewangan di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata proses saringan dilakukan termasuk pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri serta menentukan sama ada pemohon sudah mendaftar di platform lain.

Boost, yang dimiliki oleh Axiata Bhd, kini mempunyai kira-kira 125,000 pedagang manakala Touch ‘n Go mempunyai lebih 110,000 pedagang. – 14 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen