Speaker DUN Sarawak arah pembangkang henti berbahas


Desmond Davidson

Adun Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang juga ketua pembangkang menggelar Belanjawan 2020 negeri yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg Isnin lalu adalah ‘bajet udara panas’. – Gambar The Malaysian Insight, 7 November, 2019.

BUAT pertama kalinya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN ) Sarawak, speaker mengarahkan Adun berhenti meneruskan perbahasan.

Adun Kota Sentosa Chong Chieng Jen yang juga ketua pembangkang baru berucap selama lapan minit apabila Speaker Mohd Asfia Awang Nassar meminta pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak itu berhenti meneruskan perbahasan belanjawan negeri kerana mencetuskan kekecohan.

Sidang DUN kecoh ekoran Chong menggelar Belanjawan 2020 negeri yang dibentangkan oleh Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg Isnin lalu ‘bajet udara panas’.

Chong menyamakan model pembiayaan alternatif Abang Johari sama dengan skandal 1MDB.

Asfia memetik Perintah Tetap 12 (11) yang memberi kuasa kepada speaker menghentikan perbahasan jika mendapati usul atau pindaan menjejaskan perbahasan atau melanggar Perintah Tetap.

Chong yang juga timbalan menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,  membantah tindakan Asfia dan berkata speaker itu sebaliknya harus menggunakan kuasa yang diberi untuk mengawal ahli Parlimen yang membuat kecoh.

Asfia bagaimanapun bertegas dengan keputusannya atas alasan perbahasan melanggar Perintah Tetap.

“Kamu membuat kenyataan yang keterlaluan. Tak boleh diteruskan,” katanya.

Chong kemudian menjawab: “Mereka yang buat kecoh, (tetapi) saya pula yang kena tindakan.” – 7 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen