Pemimpin PAS salah fakta mengenai peruntukan bajet, kata Guan Eng


Pemimpin PAS mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak memberi keutamaan kepada projek penting seperti hub halal sebaliknya memperuntukkan lebih banyak untuk projek di Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2019.

TIMBALAN Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memperoleh fakta yang salah mengenai peruntukan kerajaan untuk pembangunan Pulau Pinang dan industri halal, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Pemimpin PAS itu perlu menarik balik gesaannya agar beliau digugurkan semasa rombakan Kabinet, katanya.

“Saya mahu menjawab fitnah Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa saya gagal sebagai menteri kewangan kerana menurut beliau, Pulau Pinang mendapat peruntukan RM10 bilion untuk pembangunan tetapi industri halal hanya RM10 juta daripada bajet negara.

“Ini adalah kenyataan tidak bertanggungjawab yang tidak benar,” kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim berkata peruntukan sebenar dalam Bajet 2020 ialah RM979.5 juta untuk pembangunan Pulau Pinang dan RM125.2 juta untuk industri halal negara, lebih daripada yang dikatakan oleh Tuan Ibrahim.

Pemimpin PAS menjadikan ia alasan untuk mendesak Lim digugurkan jika rombakan Kabinet berlaku.

Tuan Ibrahim juga mendakwa peruntukan persekutuan bagi kerajaan pembangkang di Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak seimbang.

Lim hari ini berkata ia juga merupakan satu pembohongan, kerana Kelantan menerima peruntukan RM1.5 bilion, dan Terengganu RM1.2 bilion.

“Ini lebih besar daripada yang diterima Pulau Pinang daripada kerajaan persekutuan,” kata menteri itu.

“Jika Tuan Ibrahim seorang yang mempunyai moral yang beretika, beliau harus meminta maaf berhubung fitnahnya dan berbohong dalam membuat tuduhan palsu. Adakah kepimpinan PAS mempunyai hak mengeluarkan fitnah dan pembohongan terhadap saya hanya kerana saya seorang menteri kewangan yang bukan seorang Muslim?” – 22 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen