Gugur Guan Eng dalam rombakan Kabinet akan datang, kata Tuan Ibrahim


Ravin Palanisamy

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Lim Guan Eng harus digugurkan dalam rombakan Kabinet akan datang atas kegagalannya menyediakan peruntukan mencukupi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2019.

LIM Guan Eng perlu digugurkan dalam rombakan Kabinet akan datang atas kegagalannya menyediakan peruntukan mencukupi di bawah belanjawan, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS berkata setiausaha agung DAP itu juga harus dikenakan hukuman kerana prestasi buruk Pakatan Harapan dalam PRK Tanjung Piai.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan apa yang dilakukan oleh Lim atau DAP yang telah menyumbang kepada kehilangan pengundi di Tanjung Piai.

Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata Lim kurang memberi keutamaan kepada projek-projek penting seperti Hub Halal sebaliknya memperuntukkan lebih banyak untuk projek di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang diberi RM10 bilion untuk pembangunan dan hub halal hanya diberi peruntukan sebanyak RM10 juta.

“Pasaran halal bernilai berbilion ringgit dan sepatutnya diberikan lebih banyak peruntukan,” katanya kepada pemberita.

Pemimpin parti Islam itu berkata DAP merupakan salah satu sebab mengapa PH kalah di Tanjung Piai.

Tuan Ibrahim berkata Lim masih menyalahkan kerajaan lama untuk semua masalah yang berlaku dan bukannya mahu berubah serta membina ekonomi negara.

“Selama hampir dua tahun beliau menyalahkan kerajaan terdahulu. Saya fikir mana-mana kerajaan baharu yang mengambil alih harus beri tumpuan kepada masa depan dan bukannya asyik bercakap mengenai kesilapan yang dibuat kerajaan lama,” katanya.

Semalam Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan mempertimbangkan untuk merombak Kabinet berikutan kekalahan PH dalam PRK Tanjung Piai.

Dr Mahathir berkata sebagai perdana menteri beliau perlu bertanggungjawab untuk rombakan Kabinet.

Beliau telah mendengar pendapat orang ramai dan akan menimbangkan permintaan untuk berbuat demikian.

“Ia tidak akan berlaku hari ini atau esok tetapi setelah kita mengkaji serta memerhatikan pencapaian menteri yang ada sekarang.

“Kami hanya akan membincangkan keperluan untuk merombak selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya hari ini. – 21 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen