Keputusan solat Jumaat 2, 3 jam lagi, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad berkata perbincangan sedang diadakan dengan Kementerian Kesihatan mengenai perkara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac, 2020.

KEPUTUSAN sama ada solat Jumaat hari ini digantung atau tidak akan ditentukan “dalam masa dua tiga jam”, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad.

Beliau berkata pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai perkara itu sebelum memutuskan keperluan menggantung solat Jumaat dan digantikan dengan solat Zohor di tempat masing-masing, susulan kebimbangan penularan gelombang kedua wabak Covid-19.

“Saya setuju (perhimpunan yang melibatkan orang ramai) tapi perkara tersebut kita perlu perhalusi sedikit sahaja masa lagi. 

“Dalam beberapa waktu, dua, tiga jam kerana kita perlu bincang dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada jam 9.15 pagi tadi.

Kenyataan Zulkifli menyusul arahan Raja Perlis yang memerintahkan solat Jumaat di negeri itu pada hari ini digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing, bagi mengelakkan perhimpunan skala besar yang boleh mendatangkan risiko penularan wabak Covid-19.

Perlis adalah negeri pertama yang menggantung solat Jumaat walaupun semalam Zulkifli berkata solat Jumaat boleh diteruskan kerana penularan Covid-19 di Malaysia masih dianggap terkawal.

Di Singapura semalam, majlis agama Islam republik itu mengeluarkan arahan menutup semua 70 buah masjid selama lima hari sehingga Selasa.

Umat Islam di Singapura dianjurkan untuk bersembahyang Zohor sebagai ganti solat Jumaat, sementara teks khutbah akan disebarkan secara dalam talian.

Arahan dibuat selepas dua jemaah tabligh rakyatnya disahkan dijangkiti Covid-19  selepas menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling antara 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Ini bermakna tiada solat Jumaat esok (13 Mac) dan tiada solat secara berjemaah selama lima hari di semua masjid,” lapor Berita Harian di Singapura semalam.

Menurut Majlis Agama Islam Singapura (Muis), langkah itu hanya bersifat sementara untuk mengurangkan kemungkinan penularan wabak Covid-19 di masjid. – 13 Mac, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen