Indonesia tahan 6 individu sebar berita palsu koronavirus 


ENAM rakyat Indonesia ditahan kerana didakwa menyebarkan maklumat palsu dalam talian mengenai koronavirus, kata polis negara republik itu pada Selasa.

Seorang wanita ditahan di Surabaya pada Isnin kerana menyebarkan berita palsu yang mendakwa seorang pesakit virus itu sedang dirawat di bandar berkenaan, kata polis.

Lima lagi turut ditahan kerana menyebarkan berita palsu di media sosial, termasuk mendakwa seorang wanita yang baru pulang dari menunaikan umrah di Arab Saudi mati secara tiba-tiba di lapangan terbang di Jakarta kerana virus itu.

Kesemua enam suspek didakwa melanggar undang-undang berita palsu, yang membawa hukuman penjara sehingga enam tahun.

“Ia sepatutnya menjadi peringatan kepada masyarakat agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus di Indonesia,” kata pegawai kanan kementerian komunikasi Indonesia, Samuel Abrijani Pangerapan.

Bulan lalu, dua wanita ditahan kerana didakwa memuat naik maklumat palsu mengenai virus berkenaan di negara itu.

Setakat ini, kes koronavirus di Indonesia meningkat daripada enam ke 19 kes.

Koronavirus atau Covid-19 meragut lebih 4,000 nyawa dan menjangkiti lebih 110,000 orang diseluruh dunia sejak ia tersebar tahun lalu. – AFP, 10 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen