RAJA Perlis memerintahkan solat Jumaat di negeri itu pada hari ini digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing, bagi mengelakkan perhimpunan skala besar yang boleh mendatangkan risiko penularan wabak Covid-19.
Perintah itu dikeluarkan atas pandangan dan nasihat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, kata Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips).
“... maka Maips bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dengan ini memutuskan supaya Solat Jumaat di seluruh Negeri Perlis pada tarikh 13 Mac 2020 digantikan dengan solat Zohor di rumah masing-masing.
“Hal ini adalah rentetan daripada perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan oleh KKM. Justeru itu pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar termasuklah aktiviti agama hendaklah dielakkan,” kata Yang Dipertua Maips Syed Faizuddin Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Perlis adalah negeri pertama yang menggantung solat Jumaat walaupun semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat Jumaat boleh diteruskan kerana penularan Covid-19 di Malaysia masih dianggap terkawal.
Beliau bagaimanapun meminta pihak pengurusan masjid serta orang ramai agar berjaga-jaga, termasuk meminta pihak masjid memendekkan khutbah bagi mengurangkan masa berhimpun.
Dalam pada itu, pihak berkuasa agama Perlis turut mengingatkan pihak pengurusan masjid agar berperanan memastikan wabat Covid-19 tidak menular dalam kalangan ahli jemaah dan anak kariah.
Maips menganjurkan agar semua masjid di seluruh negeri mengelak daripada menjalankan apa-apa kegiatan yang berbentuk perhimpunan awam berskala besar buat masa sekarang.
Semalam, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta mana-mana jemaah di negeri itu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada akhir bulan lalu agar tidak datang ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
Beliau juga meminta mereka yang mengalami tanda awal jangkitan Covid-19 supaya membuat pemeriksaan doktor, dan hanya ke masjid apabila disahkan bebas daripada jangkitan. – 13 Mac, 2020.
Komen