Pakej rangsangan fiskal tingkat perkembangan ekonomi, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Penganalisis menjangka kerajaan akan mengeluarkan antara RM5 bilion dan RM10 bilion untuk pakej rangsangan bagi mengurangkan kesan negatif wabak Covid-19. – Gambar AFP, 2 Mac, 2020.

PAKEJ rangsangan ekonomi RM20 bilion akan menjadi insurans pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika kemelesetan ekonomi akibat wabak Covid-19, kata ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata pakej rangsangan ekonomi yang berjumlah 1.3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2019 telah melepasi ramalan sektor swasta mengenai kesan Covid-19 mengenai ekonomi Malaysia.

Penganalisis menjangka kerajaan akan mengeluarkan antara RM5 bilion dan RM10 bilion untuk pakej rangsangan bagi mengurangkan kesan negatif wabak tersebut.

Pakej rangsangan, katanya, disasarkan dengan baik kerana ia menggabungkan cadangan untuk membantu sektor yang terjejas, meningkatkan pelancongan domestik dan penggunaan domestik.

“Walaupun kesan akhir wabak Covid-19 masih tidak menentu pada masa ini memandangkan ia terus merebak di seluruh dunia, Malaysia adalah antara beberapa negara pertama yang melancarkan pakej rangsangan di tengah-tengah peningkatan gesaab di seluruh dunia untuk kerajaan menyelaraskan dan menyediakan rangsangan fiskal,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Felo Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Dr Shankaran Nambiar berkata pakej tersebut bersifat menyeluruh dan menyasarkan sektor dan individu secara langsung atau tidak langsung terjejas akibat wabak tersebut.

Defisit fiskal

Dalam mengumumkan pakej pada hari Khamis, Perdana Menteri sementara Dr Mahathir Mohamad berkata sasaran defisit fiskal untuk tahun 2020 dijangka kekal pada 3.4% daripada KDNK selepas pakej rangsangan.

Putrajaya pada mulanya menyasarkan untuk pengurangan defisit fiskal kepada 3.2% daripada KDNK.

Mengulas perkara ini, Nambiar berkata jalan menuju keseimbangan fiskal akan tersasar buat ketika ini.

“Pastinya ia akan menambah tekanan fiskal yang sedia ada, tetapi itu memang dijangka. Tidak berbuat demikian akan menambah kesan negatif wabak itu dan akan terus melemahkan keyakinan (terhadap ekonomi negara),” katanya.

Bagaimanapun, Yeah sebaliknya menyatakan bahawa peluasan defisit fiskal dari 3.2% hingga 3.4% daripada KDNK berada dalam lingkungan jangkaan, dan yang penting masih berada dalam kapasiti fiskal Malaysia.

Dr Mahathir juga telah menyemak semula sasaran KDNK untuk tahun 2020, dengan mengatakan bahawa ekonomi dijangka berkembang dalam lingkungan 3.2% hingga 4.2%.

Dr Mahathir sebelum ini menyasarkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5% untuk 2020, manakala bekas menteri kewangan Lim Guan Eng meramalkan 4.8% sebelum wabak Covid-19 tercetus.

“Ia adalah realistik dengan ekonomi yang berkemungkinan akan ditadbir kerajaan jika Covid-19 dapat dibendung pada separuh pertama tahun ini. Dan jangkaan sebaliknya berlaku jika wabak Covid-19 berterusan sehingga dua suku tahun pertama dan menghalang kegiatan ekonomi di lebih banyak negara, “kata Yeah.

Nambiar juga bersetuju bahawa ia berada dalam lingkungan yang realistik, sambil menambah bahawa pertumbuhan mungkin lebih dekat dengan anggaran 3.2-3.6% daripada 3.8-4.2%. – 2 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen