Bayaran ansuran Bantuan Sara Hidup diawalkan kepada Mac


Langkah itu yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentangkan oleh Dr Mahathir Mohamad hari ini adalah untuk merangsang permintaan domestik.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Februari, 2020.

KERAJAAN akan membayar tambahan RM100 kepada setiap penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima pada bulan Mei dan tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad berkata selain itu bayaran ansuran BSH bulan Mei sebanyak RM200 akan diawalkan ke bulan Mac 2020.

Langkah itu yang terkandung dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentangkan oleh Dr Mahathir hari ini adalah untuk merangsang permintaan domestik.

Selain itu, kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak 4% iaitu daripada 11% kepada 7%, yang bermakna RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum berkuat kuasa sehingga akhir tahun ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020: Memperkukuhkan Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan, bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan COVID-19 dapat ditangani dengan berkesan, di Putrajaya.

Dalam pada itu Dr Mahathir berkata bagi meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, kerajaan turut mengambil beberapa inisiatif, antaranya Tabung AgroFood sebanyak RM1 bilion oleh Bank Negara Malaysia pada kadar 3.75% bertujuan menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan bagi memenuhi permintaan domestik dan eksport.

Selain itu, katanya sejumlah RM10 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk menyediakan kemudahan simpanan makanan supaya harga dapat dikurangkan.

“Geran sebanyak RM1,000 kepada 10,000 usahawan tempatan yang menjual produk dan barangan mereka di dalam platform e-dagang. Peruntukan tambahan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang,” katanya.

Bagi penambahbaikan modal insan, Dr Mahathir berkata kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi yang akan memanfaatkan kepada 100,000 rakyat Malaysia.

Selain itu pekerja yang terjejas boleh bergantung kepada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang dananya kini berjumlah RM1.1 billion.

“SIP akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000. Sebagai tambahan, elaun latihan harian sebanyak RM30 sehari juga disediakan kepada pelatih,” katanya.– Bernama, 27 Februari, 2020.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen