PEMAIN Industri digesa untuk main peranan dalam menangani cabaran susulan penularan wabak Covid-19, kata Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata hotel boleh menawarkan diskaun dan pusat membeli-belah boleh mengurangkan harga sewa kepada penyewa premis mereka.
Tambahnya, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan menyediakan rebat ke atas bayaran sewa premis di lapangan terbang dan juga caj parking dan mendarat.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi RM20 bilion hari ini.
“Kerajaan mengakui ketibaan pelancong yang rendah memberi kesan negatif kepada mereka yang bergantung kepada pelancongan.
“Kerajaan akan memberikan bayaran sekali sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas pelancong, pemandu pelancong dan pengayuh beca berdaftar,” katanya lagi.
Tambahnya, penjawat awam yang terlibat dalam usaha mengekang wabak juga akan diberikan elaun kritikan bulanan iaitu sebanyak RM400 untuk doktor dan pekerja kesihatan lain, serta RM200 untuk anggota imigresen dan kakitangan barisan hadapan bermula Februari 2020 sehingga wabak berakhir.
Katanya, setakat hari ini, Kementerian Kesihatan memperuntukkan RM150 juta untuk membeli peralatan berkaitan, ubat-ubatan dan barangan keperluan bagi mengekang wabak Covid-19. – 27 Februari, 2020.
Komen