Israel kuarantin pelajar bertemu pelancong Korea Selatan


HAMPIR 200 pelajar Israel diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama dua minggu selepas berhubung dengan pelancong Korea Selatan dijangkiti koronavirus, kata Kementerian Pendidikan Israel.

Anggota Gereja Shincheonji Korea Selatan melawat Israel di antara 8 hingga 15 Februari dan ketika tiba di Korea, 18 daripada mereka didapati dijangkiti Covid-19.

Kementerian Kesihatan Israel menggesa orang yang mungkin menemui mereka untuk menjalani kuarantin, termasuk 180 pelajar dan 19 kakitangan dari tiga sekolah berasingan yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pelancong Korea Selatan.

Murid-murid dan kakitangan, termasuk 18 guru dan pengawal, telah diperintahkan supaya “berkurung di rumah” selama 14 hari, kata kementerian itu.

Israel pada hari Jumaat mengesahkan kes pertama virus itu yang menjangkiti seorang warganya yang baharu pulang dari Jepun selepas dikuarantin di kapal persiaran Diamond Princess.

Pada hari Sabtu, Israel enggan membenarkan kira-kira 200 orang bukan Israel keluar dari kapal terbang yang tiba dari Korea Selatan, sebagai sebahagian daripada tindakan membendung koronavirus tersebut. – AFP, 23 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen