Jangkitan Covid-19 meningkat di Korea Selatan


Korea Selatan melaporkan 123 kes baru pada hari Ahad, menjadikan jumlah itu meningkat dengan cepat kepada 556. Jumlah kematian kini meningkat kepada empat dengan dua lagi kematian. – Gambar AFP, 23 Februari, 2020.

KOREA Selatan melaporkan kenaikan drastik kes jangkitan koronavirus pada hari Ahad, sementara Itali dan Iran mengambil langkah drastik bagi membendung wabak tersebut.

Penularan jangkitan virus tersebut turut mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memberi amaran bahawa sistem kesihatan yang tidak sempurna di Afrika menjadikan benua itu terdedah kepada Covid-19, yang merebak dari China dan kini menjangkiti lebih daripada 77,000 orang di lebih dari 25 negara.

Menjadi salah satu dari negara yang paling buruk terkesan dengan virus itu di luar China, Korea Selatan melaporkan 123 kes baru pada hari Ahad, menjadikan jumlah itu meningkat dengan cepat kepada 556. Jumlah kematian kini meningkat kepada empat dengan dua lagi kematian.

Angka itu diumumkan sehari selepas Perdana Menteri Chung Sye-kyun berkata negara yang mempunyai sekitar 51 juta orang itu kini menghadapi situasi “buruk”.

Gereja Shincheonji di bandar selatan Daegu - yang dikatakan sebagai ajaran kultus - muncul sebagai tempat penularan paling buruk, dengan ratusan ahli kariahnya dijangkiti.

Perdana Menteri Chung menyeru warga Korea untuk tidak menghadiri perhimpunan termasuk dalam acara keagamaan.

Kes lain di Korea Selatan melibatkan hospital kesihatan mental, seorang pekerja gergasi elektronik Samsung, dan lapan orang yang baru pulang dari perjalanan ke Israel. – AFP, 23 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen