Korea Selatan catat kematian pertama koronavirus 


64 kes koronavirus telah disahkan di bandar Gyeongsang Utara serta di daerah berhampirannya.– Gambar EPA, 20 Februari, 2020.

KOREA Selatan mencatatkan kes kematian pertama akibat jangkitan koronavirus ketika jumlah kes turut meningkat dua kali ganda melebihi 100 kes.

Peningkatan berkenaan selepas datuk bandar Daegu, yang memiliki populasi lebih 2.5 juta penduduk dan merupakan bandar keempat terbesar di negara itu, menasihatkan penduduknya untuk tidak keluar rumah dan komander pangkalan tentera udara Amerika Syarikat di kawasan berkenaan turut memperketatkan akses.

Pusat pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea (KCDC) mengumumkan, 51 kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara itu 104.

Seorang lelaki berusia 60-an di daerah Gyeongsang Utara, disahkan positif koronavirus selepas tenat berikutan gejala pneumonia.

64 kes telah disahkan di bandar berkenaan serta di daerah berhampirannya.

Datuk Bandar Daegu Kwon Young-jin menggesa penduduk: “Bemula hari ini, sila kurangkan berada di luar rumah sebanyak mungkin.”

Unit  kecemasan di empat hospital di Daegu turut ditutup sebagai langkah pencegahan, katanya seorang pegawai kepada AFP.

Tentera AS di bandaraya berkenaan terdiri daripada 10,000 anggota dan ahli keluarga mereka turut dihadkan akses dan mengarahkan mana-mana anggota menghadiri perkhidmatan gereja Shincheonji untuk dikuarantin.

“Perjalanan ke Daegu dan sekitarnya sangat tidak digalakkan melainkan terdapat keperluan penting,” menurut tentera AS di Facebook. – AFP, 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen