EgyptAir sambung semula penerbangan ke China


EgyptAir menggantung sementara penerbangan keluar dan masuk dari China sejak 30 Januari lalu.– Gambar EPA, 20 Februari, 2020.

EGYPTAIR pada Khamis mengumumkan penerbangan mingguan keluar dan masuk dari China disambung semula mulai 27 Februari, yang sebelum ini digantung akibat wabak Covid-19.

“EgyptAir memutuskan untuk meneruskan kembali penerbangan mingguan pada setiap Khamis untuk laluan Kaherah-Beijing-Guangzhou bermula 27 Februari, kerana terdapat permintaan,” lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan syarikat penerbangan itu.

Pada 30 Januari, EgyptAir menggantung sementara penerbangan keluar dan masuk dari China.

Syarikat penerbangan lain yang turut menggantung perkhidmatan ke China termasuk Lufthansa, British Airways, Swiss International Air Lines, Austrian Airlines, Air Canada, American Airlines, Cathay Pacific, United dan Finnair.

Covid-19 mula dikesan di Wuhan, di wilayah Hubei, China, pada akhir Disember, sejak itu ia merebak ke lebih 25 negara. Jumlah kes yang disahkan di tanah besar China melepasi angka 74,000 dengan lebih 2,100 orang meninggal dunia, menurut pihak berkuasa kesihatan China. – Bernama, 20 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen