Hari-hari terakhir seorang samseng


Zainal Rashid Ahmad

GADUH “angkat geng” bukan isu baharu. Ia amalan manusia. Jenayah gaduh secara kumpulan wujud dalam semua sejarah bangsa sejak zaman berzaman. Malah, sampai sekarang.

Ini antara sikap manusia yang menyamai tabiat primat liar.

Gaduh berkumpulan (gangster fight) antara realiti filem aksi yang sangat refleksif dengan kehidupan sebenar manusia.

Walaupun filem bersifat dramatik, ada waktunya realiti gaduh berkumpulan dalam kehidupan real lebih menakutkan.

Contohnya, pada Januari lalu, kerana isu sebuah motosikal, perbalahan “geng dan puak” terseret menjadi pergaduhan bersenjata antara dua kumpulan.

Puluhan orang bertempur menggunakan senjata tajam di tempat terbuka. Ia sangat mengerikan.

Kesannya, satu nyawa lelaki berusia 39 tahun disahkan maut.

Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Machang pada Ahad lalu. Manakala, seorang lagi tertuduh masih bebas.

Mereka bukan gengster. Namun, terbabit dengan pergaduhan berkumpulan menggunakan senjata tajam yang menyebabkan kematian.

Kejadian berlaku pada tengah malam 27 Januari, di stesen minyak Batu 31, Jalan Machang-Krai.

Semua tertuduh berusia 23 hingga 51 tahun. Dituduh membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Manakala 10 yang lain dituduh merusuh dan bergaduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih dua tahun.

Kejadian ini macam deja vu. Setiap kali berita seperti ini muncul, kita berasa kehidupan awam terancam.

Samseng dan kumpulan gengster

Pada 2017, Polis Bukit Aman mendedahkan terdapat 72 kumpulan jenayah terancang di negara ini. Keahlian aktif pula dianggarkan lebih 20,000 orang.

Modus operandi (MO) gengster kini lebih terbuka. Selain bermusuhan dalam soal perebutan zon bisnes, terdapat juga kerjasama akrab.

Budaya kartel dibentuk bagi memastikan setiap geng jenayah bekerjasama dalam memudahkan MO mereka.

Antara yang paling ketara ialah perkongsian mendapatkan khidmat tonto, berkongsi perisik atau orang hubungan yang melaporkan pergerakan pihak berkuasa.

Bahagian Anti Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman juga mendedahkan, wujud penjenayah profesional.

Penjenayah profesional menawarkan khidmat pada mana-mana kongsi gelap yang memerlukan bantuan.

Bisnes kepakaran profesional ini dibisneskan tanpa perlu menjadi ahli mana-mana kumpulan haram.

“Mereka menawarkan pakej lengkap seperti menjaga kawasan tertentu, memberi maklumat jika ada kehadiran pihak berkuasa, memeras ugut atau mencederakan orang.

“Sebahagian besar kumpulan kongsi gelap memfokuskan kegiatan melindungi jenayah, pemerasan dan kekerasan tanpa berselindung di sebalik perniagaan sah seperti amalan berdekad tahun lalu.”

Bahagian D7 Bukit Aman menjelaskan, MO ini menggambarkan perubahan drastik dalam gerakan jenayah berkumpulan, serta wujudnya MO rantaian kerja yang dinamik dalam jenayah terancang.

Namun, merujuk pada kes di Machang, kita lebih takut memikirkan budaya gaduh berkumpulan di jalanan membabitkan “geng atau puak” awam. Mereka bukan kongsi gelap.

Apabila senjata tajam digunakan dan ia membabitkan jumlah “geng dan puak” yang ramai – masyarakat berasa sangat terancam.

“Apakah bergaduh dan berbunuhan di jalanan kini menjadi cara kita menyelesaikan masalah?”

Gengster hebat hidup merempat

Pada 4 September, 2016 saya menuju ke stesen KTM Kuala Lumpur untuk menonton persembahan Teater Jalanan Jual Ubat Khalid Salleh.

Tiba di pintu masuk di luar bangunan bersejarah itu, saya terkedu apabila terlihat kelibat seorang lelaki tua.

Tubuhnya kurus dan kaki kirinya kudung. Lelaki berambut nipis dan berjambang putih ini duduk mengemis di sisi bangunan KTM.

Saya cam lelaki itu. Abang Ngah. Pada dekad 80-an dan 90-an, namanya digeruni.

Dia mengawal dunia samseng dari parkir di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad sampai ke Perhentian Bas Kelang.

“Dulu kita muda orang hormat. Sekarang dah tua dan kudung kaki kena kencing manis, tak ada siapa nak pedulikan lagi,” katanya.

Semasa zaman hebatnya, Abang Ngah mengawal semua aktiviti penjaga parking haram sekitar Jalan Hang Kasturi, Bangkok Bank, Jalan Silang dan sekitar Perhentian Bas Kelang.

“Aku baru keluar jel dua bulan lepas. Kena tujuh tahun tapi bebas awal. Aku nak balik kampung, tapi tak ada wang,” katanya.

Saya kenal lelaki beringas ini secara kebetulan. Pada dekad 80-an dan 90-an, kami selalu minum teh di warung bawah pokok ceri sekitar Pasar Seni.

“Saya belanja tiket bas. Abang Ngah kena balik Taiping. Susah kalau terus hidup macam ini di KL,” kata saya.

Dia mengangguk setuju. Tubuhnya kurus dan pada usia 60-an, “bisa dan taring” samsengnya sudah tanggal.

Tanpa “nama yang gah”, dia kini hanya pengemis yang hidup dengan mengharapkan ihsan orang lain.

Saya bukan saja melihat zaman gelap samseng hebat macam Abang Ngah, tetapi senarai kaki pukul yang pernah gah di jalanan Kuala Lumpur.

Tiga dekad lalu, nama mereka umpama halilintar.

Kini nama hanya tinggal sejarah tanpa nama. Ramai samseng melalui hidup hari tua merempat di jalanan.

Itu nasib malang apabila “taring dan kuku sudah berkarat”. – 12 Februari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen