Polis akan siasat Gamis kerana himpunan anti Dong Zong


Alfian Z.M. Tahir

Perhimpunan anti Dong Zong anjuran Gamis hari ini akan disiasat polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Januari, 2020.

POLIS akan menyiasat Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) kerana protes anti Dong Zong dibuat hari ini yang tidak memenuhi syarat ditetapkan Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah memberitahu The Malaysian Insight yang penganjur gagal menghantar notis penganjuran perhimpunan itu.

“Perhimpunan berakhir aman dan tiada tangkapan dibuat. Bagaimanapun, kami akan siasatnya di bawah Seksyen 9 (1) PAA.

“Ia melanggar PAA untuk mengadakan perhimpunan tanpa menghantar notis kepada polis, tetapi kami juga tidak boleh buat tangkapan kerana untuk buat tangkapan di bawah PAA, waran tangkap diperlukan,” katanya.

Semalam, polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai haram tetapi tidak menghalangnya ia berlaku di tengah Kuala Lumpur, hari ini.

Hanya 30 anggota polis dikerahkan ke tempat perhimpunan berlangsung dihadiri hampir 400 peserta yang berarak dari Masjid Jamek ke Kompleks Sogo. Mereka turut membawa sepanduk mendesak Dong Zong diharamkan.

Perhimpunan itu diadakan untuk membantah bantahan Dong Jia Zong terhadap rancangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat Jawi kepada pelajar Tahun 4 sekolah vernakular.

Dong Zong adalah sebahagian daripada Dong Jiao Zong yang mewakili guru dan lembaga sekolah vernakular Cina.

Dong Jiao Zong merancang mengadakan kongres Sabtu lepas untuk membincangkan isu khat Jawi, tetapi dibatalkan selepas polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalangnya.

Tetapi, Gamis masih meneruskan perhimpunan anti Dong Zong hari ini.

Dalam ucapannya pada perhimpunan hari ini, Presiden Gamis Saifullah Baiduri berikar akan mengadakan perhimpunan lebih besar sekiranya kumpulan pendidikan Cina terus membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular.

Ucapan lain di perhimpunan itu turut menyifatkan Dong Zong sebagai “agen dan pensimpati komunis” serta retorik bagaimana orang Cina sepatutnya bersyukur kerana dibenarkan menjadi warganegara Malaysia disebabkan “orang Melayu murah hati”. – 1 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen