Perhimpunan Gamis bantah Dong Jiao Zong tidak dibenarkan, kata polis


Timbalan Presiden Gamis Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee berkata, keengganan Dong Jiao Zong untuk menerima pembelajaran Jawi untuk murid Tahun 4 sekolah vernakular boleh membawa kepada "berulangnya" peristiwa rusuhan kaum 13 Mei, 1969.– Gambar Facebook, 31 Disember, 2019.

POLIS menganggap perhimpunan yang dirancang Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) terhadap kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong esok sebagai melanggar undang-undang. 

The Malay Mail melaporkan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, himpunan itu melanggar Akta Perhimpunan Aman (APA).

Tiada notis doberikan oleh kumpulan berkenaan berhubung perhimpunan yang akan diadakan di pusat bandar iaitu di kawasan Masjid Jamek dan pusat beli-belah Sogo. 

“Perhimpuan aman itu tidak sah. Saya tidak menerima sebarang notis daripada mereka berkenaan perhimpunan esok,” Fahmi dipetik sebagai berkata. 

Gamis juga sepatutnya mendapatkan kebenaran bertulis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekiranya mahu berarak di jalan raya. 

Menurut Akta Perhimpunan Aman 2012, mana-mana penganjur perhimpunan perlu memaklumkan secara rasmi kepada pegawai berkenaan atau ketua polis, lima hari sebelum ia diadakan.

Penganjur juga perlu mendapatkan kelulusan daripada pemilik hartanah yang menjadi lokasi perhimpunan diadakan. 

Poster perhimpunan berkenaan  - Himpunan Bangkit Pertahankan Jawi : Haramkan Dong Zong - tersebar di media sosial hari ini. 

Perhimpunan itu dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang, yang mana peserta akan berarak dari Masjid Jamek ke pusat beli-belah Sogo. 

Minggu lalu, Timbalan Presiden Gamis Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee berkata, keengganan Dong Jiao Zong untuk menerima pembelajaran Jawi untuk murid Tahun 4 sekolah vernakular boleh membawa kepada “berulangnya” peristiwa rusuhan kaum 13 Mei, 1969.

Beliau turut menggesa Kementerian Dalam Negeri mengharamkan kumpulan pendidikan Cina itu. 

Pemuda DAP turut membuat laporan polis di beberapa negeri berhubung kenyataan itu.– 31 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen