Guna tajuk '13 Mei' untuk tarik perhatian pembaca, kata Gamis


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia mengakui tajuk hantaran yang digunakan di Twitter mengenai persidangan Jawi anjuran Dong Jiao Zong bertujuan menarik minat orang ramai membacanya. – Gambar fail The Malaysia Insight, 26 Disember, 2019.

KUMPULAN pelajar Islam mengubah tajuk provokatif yang digunakan pada akaun media sosialnya susulan tindak balas negatif daripada orang awam.

Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (Gamis), Mohd Zofrie Zulhilmie Ruslee berkata tajuk hantaran yang ditulis pada akaun Twitter mengenai persidangan Jawi anjuran Dong Jiao Zong bertujuan menarik minat orang ramai membacanya.

“Asalnya tajuk tersebut kita letak untuk tarik perhatian sebab kalau kita fokus pada isi kandungan kenyataan lebih pada fakta untuk hapuskan Dong Zong,” katanya kepada portal berita Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata mereka tidak pernah berkata apa-apa mengenai mengulangi insiden 13 Mei pada hantaran itu.

“Bila kita lihat terlalu ramai beri respons negatif pada tajuk saja, bukan pada isi, kitapun damage control (kawal kerosakan) lah… terpaksa ubah untuk elak situasi yang lebih tegang.

“Sebab fokus pada haramkan Dong Zong, bukan pada tajuk tersebut,” katanya dipetik sebagai memberitahu portal berita itu.

Dalam hantaran tersebut, Gamis memberi amaran yang rusuhan berdarah pada 13 Mei 1969 mungkin akan kembali selagi kumpulan pendidik Cina Dong Zong masih wujud.

Presidennya, Saifullah Baiduri menggesa Kementerian Dalam Negeri dan polis mengharamkan kumpulan itu, menuduh ia menentang dasar kerajaan kebangsaan yang berusaha untuk ke arah perpaduan

“Dong Zong ialah pertubuhan yang menjadi nanah kepada perpaduan rakyat serta membawa doktrin anti-nasional dalam kalangan masyarakat Cina,” katanya.

“Selagi pertubuhan ini masih bertapak, pihak berkuasa seakan merestui sejarah hitam 13 Mei 1969 berulang kembali,” katanya.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang segera menuntut tindakan diambil terhadap Gamis bagi kenyataan yang bersifat mengapi-apikan itu.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab seperti dikeluarkan Saifullah Baiduri tidak boleh diberikan kekebalan dan dibiarkan jika kita tidak mahu Malaysia berpecah dan dimusnahkan oleh penyebaran kebencian, berita palsu dan ucapan kebencian tidak terkawal di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap Saifullah kerana kenyataan tidak bertanggungjawab bahawa rusuhan berdarah 13 Mei mungkin berulang selagi mana Dong Zong wujud,” tambahnya. – 26 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen