Kit Siang desak tindakan tegas diambil terhadap Gamis


Lim Kit Siang mendesak tindakan tegas diambil kepada Gabungan Pelajar Islam Malaysia kerana kenyataan yang didakwanya tidak bertanggungjawab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

PIHAK berkuasa perlu bertindak tegas terhadap kumpulan pelajar yang mendakwa rusuhan 13 Mei mungkin berulang selagi mana kumpulan pendidikan Cina Dong Zong masih wujud, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Katanya, kenyataan tidak bertanggungjawab dikeluarkan Presiden Gabungan Pelajar Islam Malaysia (Gamis) Saifullah Baiduri tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab seperti dikeluarkan Saifullah Baiduri tidak boleh diberikan kekebalan dan dibiarkan jika kita tidak mahu Malaysia berpecah dan dimusnahkan oleh penyebaran kebencian, berita palsu dan ucapan kebencian tidak terkawal di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap Saifullah kerana kenyataan tidak bertanggungjawab bahawa rusuhan berdarah 13 Mei mungkin berulang selagi mana Dong Zong wujud,” tambahnya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata wujud video tular di media sosial tentang seorang ustaz mendakwa komunis sudah memasuki Kabinet dan kerajaan Malaysia, dan pemerintah sekarang adalah kerajaan komunis.

Politikus veteran itu juga berkata Malaysia tidak akan menjadi negara yang berpadu, progresif, makmur dan berjaya sekiranya Saifullah dan ustaz tersebut diberikan “kekebalan dan dibiarkan” membuat kenyataan tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Sebaliknya, Malaysia bakal berdepan masa depan yang gelap menjadi negara gagal, mundur, berpecah belah sekiranya pihak sedemikian terus dibiarkan membuat kenyataan berunsur fitnah, tidak bertanggungjawab, mempromosi kebencian dan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat, kata Lim lagi.

Akhbar The Malay Mail sebelum ini melaporkan yang Saifullah berkata rusuhan kaum berdarah 13 Mei 1969 yang jadi titik gelap sejarah negara itu berulang jika Dong Zong terus wujud.

Beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk mengharamkan Dong Zong kerana pendiriannya yang bertentangan dengan dasar kerajaan dan usaha membentuk perpaduan nasional. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen