Dong Jiao Zong terbit buku digital berhubung isu Jawi 


Buku digital 16 muka surat diterbitkan oleh Dong Jiao Zong bagi menjelaskan pendiriannya berhubung isu pengenalan Jawi.– 27 Disember, 2019.

MENJELANG kongresnya esok, Dong Jiao Zong menerbitkan buku digital 16 muka surat bagi menjelaskan pendiriannya berhubung isu pengenalan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu di sekolah vernakular.

Buku itu bertajuk “Isu Tulisan Jawi: Mempertahankan Hak Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan”, dimuat naik di laman web kumpulan itu.

“Bantahan ini ialah bantahan terhadap tindakan memasukkan penghayatan seni khat atau pengenalan tulisan Jawi ke dalam jadual waktu sekolah dan bukan membantah bahasa Melayu atau tulisan Jawi,” katanya menjelaskan mengenai bantahan yang dibuat.

Dong Jiao Zong berkata pihaknya cuba untuk bertemu dengan Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Ini termasuk menghantar memorandum pada 28 November bagi mendapat kebenaran kementerian untuk membenarkan lembaga sekolah membuat keputusan sama ada untuk melaksanakan modul itu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, tiada maklum balas diterima daripada kementerian berkenaan, katanya.

Tambahnya, kementerian sebelum ini juga berjanji untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan modul bagi Tahun 5 dan Tahun 6.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan pada 5 Disember lalu berkata, sekiranya majoriti ibu bapa memilih modul itu untuk Tahun 4, maka kumpulan pelajar berkenaan akan meneruskannya di Tahun 5 dan Tahun 6.

“Ini jelas mengetepikan hak murid-murid dan ibu bapa untuk memilih tidak menyertai pelaksanaan tersebut di Tahun 5 dan Tahun 6,” tambahnya.

Di samping itu, buku itu juga menyentuh mengapa hak lembaga sekolah harus dipertahankan dan mengapa ia sepatutnya yang menentukan perkara itu.

Ia juga menyelaraskan keputusan kerajaan dan langkah yang berkaitan dengan isu ini.

Dong Jiao Zong dijadualkan akan melangsungkan kongres di Kolej New Era di Kajang, esok.

Tindakan itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai kontroversi dengan ramai ahli politik dan aktivis memberi amaran terhadap kumpulan berkenaan daripada meneruskan kongres itu.

Antaranya, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang memberi peringatan kepada Dong Jiao Zong bahawa mengadakan perhimpuan itu akan membawa kepada kesan buruk, seperti desakan daripada kumpulan pendesak Melayu yang mahu sekolah vernakular ditutup.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menggesa Dong Jiao Zong dan kumpulan lain, termasuk organisasi Melayu, untuk tidak mengadakan sebarang acara berhubung isu itu. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen