Gamis teruskan protes bantah pendidikan Cina


Alfian Z.M. Tahir

Hampir 400 peserta berarak dari Masjid Jamek ke Kompleks Sogo membantah Dong Jiao Zong hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 1 Januari, 2020.

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) meneruskan protes anti Dong Jiao Zong hari ini walaupun polis sudah mengisytiharkan ia haram.

Hampir 400 orang peserta memulakan perarakan jam 2.30 petang tadi dari Masjid Jamek menuju ke Kompleks Sogo.

Di sana, mereka turut mendengar ucapan membantah pendidikan Cina dan meraih sokongan rakyat terhadap isu pengajaran khat Jawi.

Di sekitar kawasan protes berlangsung, turut kelihatan tidak sampai 30 anggota polis yang memantau situasi.

Peserta perarakan turut membawa beberapa sepanduk yang tertulis “Apa Salah Jawi?” dan “Haramkan Dong Zong”.

Turut kelihatan adalah sepanduk yang tertulis “Jangan Cabar Orang Melayu” dan “Demi Islam”.

Demonstrasi itu tetap diadakan walaupun Dong Jiao Zong membatalkan kongres dijadualkan dibuat Sabtu lepas untuk membincangkan pengenalan modul khat Jawi untuk pelajar Tahun 4 sekolah vernakular.

Pembatalan itu dibuat selepas polis mendapatkan perintah mahkamah menghalang ia diadakan.

Semalam, polis menegaskan yang Gamis tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman kerana gagal menghantar notis mengadakan perhimpunan itu, sekaligus menjadikan ia menyalahi undang-undang.

Polis mengisytiharkan protes anjuran Gamis haram kerana tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 1 Januari, 2020.

Perarakan aman itu berakhir sekitar ham 3.45 petang tadi.

Seorang sumber polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Dang Wangi mengesahkan tiada tangkapan dibuat kepada The Malaysian Insight.

Protes hari ini turut dihadiri beberapa pemimpin Umno dan PAS. Bagaimanapun, tiada pemimpin kanan kedua-dua parti itu dikesan pada perhimpunan hari ini. – 1 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen